Lembaga Kenaf sambut merdeka sambil tingkat produktiviti

Lembaga Kenaf sambut merdeka sambil tingkat produktiviti
Pengerusi LKTN Wan Rahim Wan Abdullah menyemat bendera pada kenderaan konvoi merdeka

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut serta dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ke 62 dengan menyertakan aturcara bagi meningkatkan produktiviti.

Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata walaupun acara ini untuk perayaan dan kegembiraan, pihaknya tidak melupakan tugas bagi mengembangkan aktiviti lembaga berkenaan.

“Pergerakan (konvoi) hari ini dari ibu pejabat LKTN Kubang Kerian ke Jeli dan Gerik akan singgah di beberapa lokasi bagi menghadiri program-program Bicara Kenaf yang telah sedia diatur,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kenderaan-kenderaan yang menyertai konvoi merdeka pagi tadi.

Bagi menjayakan sambutan kemerdekaan menurut beliau, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa sambutan yang diketuai Jabatan Penerangan Negeri Kelantan beserta semua jabatan-jabatan persekutuan dan negeri.

“Saya sentiasa hadir di semua program-program yang diatur semenjak pelancaran bulan kemerdekaan yang diadakan di perkarangan pasaraya Mydin Kubang Kerian awal bulan ini,” katanya.

Sementara itu ketua pengarah LKTN Encik Samsudin Noor berkata penerangan mengenai industri kenaf negara amat penting, kerana kita kini memasuki fasa kedua di mana penyertaan pihak swasta akan dibuka selepas sepuluh tahun inisiatif dibuat oleh pihak kerajaan.

“Selepas pihak kita mendirikan kilang pemerosesan kenaf di Setiu Terengganu yang dijangka akan mula beroperasi hujung tahun ini, pihak swasta telah mendirikan kompleks pengembangan yang lebih besar di Rompin Pahang.

“Dengan pelaburan lebih RM6 juta, kilang swasta ini memerlukan lebih banyak input tanaman kenaf dari seluruh negara,” katanya.

Bagi tujuan itu menurutnya, promosi tanaman kenaf tidak hanya tertumpu di Pantai Timur Semenanjung tetapi akan disebar luas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Oleh kerana orang ramai masih kurang informasi berkaitan perkara ini, kita sentiasa mengambil peluang dalam apa jua acara-acara besar termasuk sambutan kemerdekaan.

“Industri kenaf berpotensi besar untuk disertai semua lapisan rakyat kerana ia bukan sahaja melibatkan bidang penanaman kenaf tetapi juga operasi pemerosesan dan pembuatan produk.

“Bagi yang ada tanah, mereka boleh membuat ladang manakala yang tiada tanah boleh menyertai aktivit-aktiviti lain kerana semua peringkat dalam industri ini akan diwujudkan dalam negara,” katanya.

(kiri) Samsuddin Norr dan (kanan) Wan Ab Rahim Wan Abdullah dalam majis yang diadakan sempena sambutan bulan kemerdekaan.