Lembaga Pengampunan beri Najib Razak pengurangan hukuman penjara 50 peratus

Oleh WAN SITI AMINAH

Misteri isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya terjawab selepas Lembaga Pengampunan mengeluarkan kenyataan sebentar tadi.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Lembaga Pengampunan bersetuju untuk memberi pengurangan hukuman penjara dikenakan ke atas Najib Razak sebanyak 50 peratus.

Pengumuman ini bermakna, Najib yang ditahan di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan pada tahun 2022 lalu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 akan datang.

Lembaga Pengumuman turut mengumumkan pengurangan denda yang perlu dibayar Najib kepada RM50 juta berbanding nilai ditetapkan sebelum ini iaitu RM210 juta.

Walau bagaimanapun, bekas Presiden Umno itu perlu menjalani tempoh penjara tambahan selama setahun lagi sekiranya didapati gagal membayar denda tersebut.

Keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Yang di-Pertuan Agong.

Selari dengan keputusan ini, Najib Razak mungkin tidak berpeluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang memandangkan tempoh penggal Parlimen dijangkakan berakhir pada tahun 2027.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International bernilai RM42 juta.

Baca juga: “Aku tahu mentua tak suka aku, tapi keadaan lebih keruh bila isteri adik ipar mula sebar…”