Lembaga perumahan Melaka, DDSB bangunkan projek RMM RM4.22 juta

Lembaga perumahan Melaka, DDSB bangunkan projek RMM RM4.22 juta

Kerajaan Melaka melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan kerjasama syarikat pemaju perumahan Delta Diversified Sdn Bhd (DDSB) akan melaksanakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) bernilai kira-kira RM4.22 juta di Taman Cheng Perdana di sini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata projek terdiri 23 unit rumah teres setingkat itu akan dibangunkan di tanah seluas 0.33 hektar dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata pembangunan RMM untuk golongan bumiputera tersebut merangkumi 19 rumah teres setingkat bernilai RM180,000 seunit selain empat rumah teres setingkat lot tepi berharga RM200,000 seunit.

“Projek ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk menyediakan RMM kepada rakyat dan ia dijangka mula dibangunkan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

“Potongan sebanyak lima peratus daripada harga jualan akan diberikan kepada pembeli dan permohonan boleh dibuat di pejabat LPM,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian projek berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Adly menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan negeri manakala DDSB diwakili Pengarah Urusan, Tee Kai Loon.

Beliau berkata, projek RMM itu akan memberi pulangan RM540,000 kepada LPM.

— BERNAMA