Malaysia Dateline

Lembaga Zakat Kedah taja belia asnaf tingkat kemahiran

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan menaja 30 orang belia golongan asnaf bagi mengikuti Program Kemahiran Industri Belia Asnaf di Kulim Hi-Tech Park, dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, tajaan itu merupakan yang kedua selepas kejayaan program perintis di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara di sini, sehingga melahirkan 64 pelatih berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

“Kita sedang bekerjasama dengan Kulim Hi-Tech pula untuk melatih 30 belia asnaf dan untuk tujuan itu sebanyak RM165,000 diperuntukkan dan program ini lebih istimewa apabila pelatih yang menamatkan kursus akan terus ditawarkan pekerjaan.

“Mereka mendapat jaminan pekerjaan kerana kursus-kursus yang disediakan memenuhi tuntutan pihak industri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Graduasi Belia Asnaf LZNK dan ABM Wilayah Utara di sini, hari ini.

Seramai 64 orang pelatih menerima Sijil Kecekapan Kemahiran masing-masing yang membabitkan tujuh kursus antaranya jentera berat, pendingin hawa dan kimpalan.

Sementara itu, pelatih cemerlang, Mohd Fakhri Yusof, 26, berkata, beliau bersyukur kerana terpilih mengikuti program kemahiran itu dan sudah bekerja di Petronas Rapit Pengerang di Johor sebagai penyelia.

“Kalau kita lemah dalam akademik atau tercicir janganlah berputus asa kerana bidang kemahiran pada masa ini cukup mendapat permintaan, saya sudah berjaya dan akan tunaikan zakat supaya dapat membantu asnaf-asnaf lain pula memperbaiki kehidupan,” katanya.

— BERNAMA