Lembah Mansuli di Lahad Datu berpotensi jadi tapak pelancongan arkeologi

Lembah Mansuli di Lahad Datu berpotensi jadi tapak pelancongan arkeologi

Lembah Mansuli yang terletak 30 kilometer dari bandar Lahad Datu berpotensi dijadikan sebagai tapak pelancongan arkeologi, kata Prof Madya (Pelancongan) dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul.

Katanya, penemuan arkeologi serta ciri eksotik di lembah itu sesuai dipromosikan sebagai produk pelancongan iaitu melawat ke tempat kuno dan bersejarah.

“Lembah Mansuli mempunyai dua tapak arkeologi iaitu tapak ekskavasi Mansuli serta Gua Samang Buat.

Manakala setiap tapak ekskavasi ini ada penemuan yang membuktikan Lembah Mansuli telah didiami seawal 235,000 hingga 11,000 tahun yang lalu dan sekali gus menjadikan lembah ini adalah tertua dalam prasejarah Borneo,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Awangku Hassanal yang juga pengasas bersama Sabah Sustainability Volunsharing Program (SSVP) itu berkata kunjungan ke tapak arkeologi membolehkan pengunjung dapat meneroka gua di samping mempelajari warisan Borneo termasuk memulihara tapak ekskavasi Lembah Mansuli.

Di bawah SSVP, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Sabah dengan kerjasama fakultinya telah meneroka potensi Lembah Mansuli sebagai tapak pelancongan arkeologi.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar mahu kerjasama antara pihaknya serta UMS yang terjalin sejak 2015 itu diteruskan di masa hadapan.

“Banyak yang dapat diterokai hasil kerjasama ini termasuk menerokai Ekopelancongan Tagal dan Pelancongan Gunung Berapi,” katanya.

Program SSVP menumpukan kepada penerokaan produk pelancongan baharu serta mendidik peserta menjadi pelancong yang lestari dan bertanggungjawab.

— BERNAMA