Malaysia Dateline

Lembu punya susu, sapi dapat nama, kata PH kepada Muhyiddin

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, bantuan sara hidup dan Perkeso untuk nelayan yang diumumkan perdana menteri semalam merupakan titik peluh bekas menteri beliau dan pasukannya sepanjang 22 bulan dalam kementerian itu.

“Beliau jangan hanya nak ambil kredit dan nama semata-mata nak menangkan pilihan raya.

“Hakikatnya, Kerajaan PN kurang menunjukkan kreativiti atau dasar-dasar baru yang memberangsangkan.

“Rakyat masih tak nampak sangat dasar baru dalam sektor pertanian di bawah kerajaan PN.

“Mereka hanya meneruskan dasar yang diusahakan oleh kerajaan PH sahaja,” kata Sim, Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah “Lembu punya susu, sapi dapat nama.”

Semalam PM Muhyddin mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup ESH kembali ke RM300.

Pengumuman ini berlaku di Sabah sempena Pilihanraya negeri, maka ia bukan satu kebetulan.

Sebagai mantan Timbalan Menteri Pertanian, kata Sim, beliau sememangnya bergembira demi 42,000 warga nelayan di Malaysia.

“Tapi saya ingin set the record straight.

“Semasa YB DS Salahuddin dan saya memimpin Kementerian Pertanian, kami melakukan 2 perkara utama untuk nelayan traditional (zon A):

1. Kembalikan ESH ke RM300 pada tahun 2020.
2. Caruman Perkeso nelayan (Dasar Baru PH)

“Malah pada hari terakhir saya menjawat Timbalan Menteri, mesyuarat terakhir saya pengerusikan adalah bersama pegawai dari Jabatan Perikanan untuk melaksanakan Perkeso untuk nelayan,” kata Sim lagi.

Katanya, Perkeso untuk nelayan, petani dan penternak merupakan dasar baru di bawah pentadbiran PH dan akan diperluaskan ke semua sektor Pertanian dalam tahun 2020 untuk memberi perlindungan yang komprehensive kepada para pengusaha.

Beliau menjangka 900,000 pengusaha sektor pertanian akan dilindungi oleh PERKESO secara berperingkat mulai tahun 2020 dalam perancangan pentadbiran Pakatan Harapan.

Oleh itu, katanya, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang bantuan untuk Nelayan semalam merupakan titik peluh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.