Malaysia Dateline

Lengah Parlimen bersidang bakal jejas hubungan Istana dan Kabinet – pakar perlembagaan

Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu segera bertindak bagi melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan sidang Parlimen yang perlu diadakan segera sebelum darurat ditamatkan.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, beliau tidak menafikan wujudnya beberapa tafsiran tentang pihak yang lebih berkuasa untuk menentukan tarikh persidangan Parlimen dan tafsiran berkaitan sudut kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Namun beliau menegaskan, tidak seharusnya tafsiran-tafsiran yang berbeza itu menjadi penyebab titah Yang di-Pertuan Agong dikesampingkan atau diketepikan oleh kerana Baginda Tuanku merupakan Ketua Utama Negara berdasarkan kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menjelaskan bahawa keperluan mengadakan segera sidang Parlimen mengambil kira bahawa pandangan itu telah dizahirkan oleh Agong secara konsisten sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali melalui kenyataan rasmi dari Istana Negara, iaitu pada 24 Februari, 16 Jun dan 29 Jun 2021.

“Pandangan Yang di-Pertuan Agong dibuat selepas perbincangan dan rundingan dengan semua pihak yang terlibat termasuklah Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, serta timbalan-timbalan mereka, para pemimpin parti politik, pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain.

“Bahkan Perdana Menteri serta jemaah Kabinet amat maklum berkenaan hasrat berkenaan yang disuarakan secara terbuka dan melalui perbincangan. Ini bermakna, pandangan Yang di-Pertuan Agong ini dizahirkan selepas melalui proses musyawarah yang menyeluruh.

“Selain itu, pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan pandangan Raja-raja Pemerintah yang diumumkan selepas pertemuan khas di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia itu juga menekankan, pendirian konsisten Yang di-Pertuan Agong adalah berteraskan konsep dan amalan Demokrasi Berparlimen selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut berpendapat bahawa kerajaan tidak melakukan tindakan yang sepatutnya untuk memanfaatkan Proklamasi Darurat yang bermula sejak Januari 2021 bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan sebagai institusi ‘semak dan imbang’.

Malah katanya, kerajaan juga tidak menyediakan ruang yang wajar kepada pihak pembangkang untuk turut sama terlibat dalam usaha menagani wabak Covid-19, sedangkan ia merupakan langkah penting bagi meredakan suhu politik dalam negara.

Baginya, ketiadaan sidang Parlimen telah mewujudkan persepsi yang amat tidak baik kepada rakyat berkaitan tahap keabsahan kerajaan susulan tahap sokongan kepada Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat adalah amat tipis sehingga menjadi pertikaian.

“Terdapat dakwaan bahawa Proklamasi Darurat serta penangguhan sidang Parlimen dibuat untuk menjaga kepentingan politik dan kuasa. Persepsi berkenaan turut dikaitkan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika pihak Perdana Menteri tidak segera bertindak melaksanakan sidang sebelum 1 Ogos 2021 seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka dikhuatiri berlaku hubungan yang amat tidak sihat antara pihak Istana dan Kabinet,” ujarnya.