Lengkap berpelamin, wanita kongsi tips kahwin dengan belanja bawah RM1,000

Oleh KIM SYAZIE

Berbekalkan modal kurang dari RM1,000, pasangan pengantin di Melaka berjaya melangsungkan perkahwinan penuh makna walaupun sederhana.

Menurut satu hantaran di laman Twitter, pengantin wanita itu berkongsi bagaimana dia berjaya mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan.

Katanya, dia dan pasangannya hanya bergambar di pelamin yang telah disediakan Pejabat Agama Islam Daerah Melaka Tengah setelah sah bernikah.

Oleh yang demikian, pasangan itu tidak perlu mengeluarkan wang buat sewa pelamin yang boleh menelan belanja hingga ratusan ringgit.

Menata rias wajahnya sendiri ketika bernikah di pejabat agama, pengantin wanita itu juga tidak menggunakan khidmat mak andam atau jurusolek.

“Mas kahwin, duit imam dan saksi, kami belanjakan RM380. Untuk henna (inai) pula saya bayar RM55. Baju saya hanya pakai baju yang lama.

“Keluarga belah lelaki offer untuk masak. Kita buat nasi putih dan lauk asam pedas dengan kos RM200 untuk tetamu. Total semua termasuk cincin bawah RM1000,” katanya.

Dikenali sebagai Nur Ashiekin, dia bertindak sedemikian kerana lebih memikirkan perbelanjaan kehidupan rumah tangga yakni selepas bernikah.

Bagaimanapun, Ashiekin berkata dia hanya bertekad melaksanakannya setelah mendapat restu daripada kedua belah keluarga.

Tular di media sosial, wanita yang merupakan anak sulung itu berharap perkongsiannya memberi manfaat kepada pasangan lain.

“Cukup sekadar untuk kita, jangan sampai berhutang. Tidak perlu nak tunjuk dekat orang,” nasihatnya.

Baca juga: Belum habis sepenggal, menteri harap tiada lagi rampasan kuasa