Menjadikan nilai ambang 10 peratus dan komuniti lengkap dua dos vaksin sebagai parameter melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak logik sama sekali.
Pakar Perubatan Kanak-Kanak di sebuah Pusat Perubatan Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, bahkan tidak betul sekiranya imuniti kelompok dianggap telah tercapai berdasarkan peratusan vaksinasi.
Menurutnya, 20 peratus kes positif Covid-19 adalah mereka yang telah divaksin dan 20 peratus daripada kes tahap 4 hingga 5 juga adalah mereka yang juga telah menerima vaksin.
Sehubungan itu, katanya, vaksin tidak menjanjikan imuniti sepenuhnya kepada virus Covid-19.
“Harus disedari, sebetulnya apabila 80 peratus penduduk di satu komuniti telah diimuniti kepada virus Covid-19, maka barulah boleh dikatakan ianya sudah mencapai ‘herd immunity’.
“Namun begitu sekiranya 80 peratus penduduk telah divaksinkan, belum tentu ia telah mencapai ‘herd immunity,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang berkata, penerima lengkap vaksin pun masih boleh menjadi pembawa memandangkan sifat luar biasanya virus Covid-19.
Atas fakta itulah, kata Dr Zaidi, nilai ambang peratus vaksinasi penduduk sebagai parameter perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus.
Hal tersebut, jelasnya, mengambil kira 20 peratus yang telah divaksin masih boleh dijangkiti.