Malaysia Dateline

Lengkap dua dos dikecualikan kuarantin, boleh masuk Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan penduduk yang lengkap vaksin Covid-19 dibenarkan masuk Sarawak bermula hari ini.

Malah kata JPBN, mereka yang lengkap dua dos vaksin itu turut diberi pengecualian kuarantin apabila tiba di negeri itu.

“Keputusan itu dibuat setelah menilai situasi Covid-19 di Sarawak dan negeri-negeri lain.

“Setelah mempertimbangkan peningkatan jumlah individu yang telah melengkapkan vaksinasi di seluruh negara, JPBN memutuskan individu yang masuk ke negeri ini mendapat pelepasan dari kuarantin bagi individu berstatus ‘lengkap vaksinasi’.

“Mereka hanya perlu memohon dalam EnterSarawak dan mengisi eHealth Declaration Form (eHDF). Seterusnya, sertakan bukti status ‘lengkap vaksinasi’, keputusan RT-PCR NEGATIF (sah untuk tiga hari saja) dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” jelas JPBN dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Tegas JPBN , kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun yang memasuki Sarawak bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi akan diberi pelepasan dari kuarantin.

“Bagaimanapun, mereka dinasihati agar menjalankan pemantauan kendiri di rumah selama 10 hari. Individu yang belum divaksin atau belum lengkap vaksinasi perlu menjalani arahan kuarantin selama 10 hari jika hendak masuk ke Sarawak.

“Mereka yang belum divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi perlu memohon dalam EnterSarawak dan Isi eHealth Declaration Form (eHDF),

“Sertakan keputusan RT-PCR NEGATIF (sah untuk tiga hari saja) dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan dengan individu berkenaan akan menjalani kuarantin selama sepuluh hari di hotel kuarantin yang ditetapkan, ” tambah JPBN lagi..

Bagi panduan mereka yang masuk dari luar negara, JPBN menegaskan tiada perubahan garis panduan setakat ini.