Malaysia Dateline

Lengkap suntikan penggalak, dua lagi kes positif Omicron dikesan di Singapura

Dua lagi kes positif Covid-19 varian Omicron dikesan di Singapura pada ujian awal, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, satu kes tempatan membabitkan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang dan satu kes import dengan kedua-duanya sudah lengkap divaksin dan menerima suntikan penggalak.

“Satu bergejala, manakala satu lagi mempunyai simptom tidak ketara,” katanya.

Jelas MOH lagi, kedua-dua kes itu semakin pulih dan ditempatkan dalam wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Pada masa ini, MOH menjalankan pengesanan kontak yang agresif untuk mengekang penularan.

Kes pertama ialah seorang wanita Singapura berusia 24 tahun yang juga kakitangan perkhidmatan penumpang di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi, dan pernah bekerja di bahagian penumpang transit. Beliau mungkin berinteraksi dengan penumpang transit dari negara terjejas Omicron, menurut kenyataan itu.

Dilabel sebagai Kes 276363, MOH berkata, mangsa tidak bekerja di Terminal 4 iaitu tempat tiga kes jangkitan Omicron sebelum ini berlaku.

Petugas itu menjalani ujian Covid-19 pada 8 Disember sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan sempadan, dan keputusan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) menunjukkan S-gene Target Failure, yang mungkin dikaitkan dengan varian Omicron, katanya.

Kes kedua yang dilabelkan sebagai Kes 276223, ialah seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 46 tahun yang pulang ke Singapura melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dari Jerman dengan menaiki Singapore Airlines SQ325 pada 6 Disember.

“Ujian pra-berlepasnya di Perancis pada 4 Disember adalah negatif COVID-19. Sebaik tiba di Singapura, ujian PCRnya pada 6 Disember kembali negatif.

“Pada 7 Disember, dia mengalami hidung berair dan mendapatkan rawatan perubatan pada 8 Disember. Wanita itu disahkan positif jangkitan Covid-19 pada hari yang sama, dan disahkan menunjukkan S-gene Target Failure pada 9 Dis, kata MOH Singapura itu lagi.