Malaysia Dateline

Lenyapkan Bersatu dan semua ‘katak’ yang curi mandat rakyat

Bersatu, PN dan semua ‘katak’ yang telah mencuri mandat rakyat, harus dilenyapkan malah semua kerusi Parlimen harus dimenangkan dengan lebih banyak dalam PRU ke-15 bagi merealisasikan Datuk Deri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, demikian dinyatakan oleh Adun PH Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Kata beliau, anggota parti merupakan tunjang belakang yang akan menjadi barisan hadapan untuk melawan dan menghapuskan virus politik serta kluster katak yang sedang mengancam negara tatkala ini.

“Kita harus bekerja kuat dan bersiap sedia menghadapi PRU ke 15 bagi mengembalikan hala tuju negara kepada landasan yang betul, memulihkan demokrasi, kedaulatan undang-undang serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara.

“Sejajar dengan itu, penubuhan ranting akan dilipatgandakan dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang bagi memastikan Pulau Pinang dan kerajaan ditunjangi oleh PH.

“Manakala kerusi Dun Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Nibong Tebal harus dirampas kembali sejajar dengan sasaran untuk PH menguasai peringkat negeri dan juga nasional,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penubuhan 20 ranting baru PKR dengan lebih 500 keahlian baru di Bukit Tengah serta meraikan ulang tahun ke 22 PKR di Juru semalam.

Adun PH Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung(tiga dari kiri) menerima borang keahlian 20 ranting baru bagi Dun Bukit Tengah.

Tambahnya dalam PRU ke-14 yang lalu, PKR menang dikesemua 14 kerusi DUN yang ditandingi di Pulau Pinang dan memenangi 51 dari 72 kerusi Parlimen yang ditandingi seluruh negara.

Sehubungan itu tegasnya, sama ada suka atau tidak, persediaan harus disegerakan bagi memastikan kerajaan Muhyiddin yang kini sedang melayan pertempuran antara Umno dan Bersatu PN ditentang sehingga mereka tidak mampu memperolehi apa jua pulangan.