Leong Hup International tingkatkan pengeluaran makanan ternakan di Vietnam

Leong Hup International tingkatkan pengeluaran makanan ternakan di Vietnam

Pengeluar makanan ayam itik dan ternakan Malaysia, Leong Hup International Bhd menyasarkan pengeluaran makanan ternakan sehingga 1.35 juta tan metrik tahun depan apabila kilang keempatnya di Dong Nai mula operasi bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Operasi Vietnam, Lau Joo Hong berkata, pada masa ini, kapasiti pengeluaran makanan ternakan syarikat tersebut berjumlah 1.12 juta tan metrik setahun.

Beliau berkata, syarikat itu memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM77.8 juta dan RM80.2 juta masing-masing bagi 2018 dan 2019, bagi memperbesarkan lagi kilangnya.

Dua daipada kilang makanan ternakan syarikat itu terletak di selatan Vietnam, iaitu wilayah Bau Bang dan Tien Giang manakala kilang di utara terletak di Hai Doung.

Di samping itu, Leong Hup International mengeluarkan ubat-ubatan dan makanan tambahan haiwan di Bau Bang.

Syarikat itu juga memiliki lima ladang genetik (pembiakan) dan tiga ladang ternakan ayam telur dan satu ladang penetasan di Vietnam.

“Menjelang 2020, kami menyasarkan pengeluaran meningkat kepada 1.5 juta tan metrik, disumbangkan oleh pengembangan kilang Bau Bang dan Tien Giang serta pembesaran kilang makanan ternakan keempat di Dong Nai,” katanya semasa lawatan media ke tapak operasi syarikat berkenaan, di sini.

“Penggunaan ayam itik per kapita di Vietnam adalah kurang daripada 15 kilogram setahun, sangat rendah berbanding Malaysia, iaitu kira-kira 50 kilogram.

“Jika mereka meningkat 10 kilogram lagi per kapita, ada banyak potensi untuk kami. Oleh itu sentiasa kami mengikuti pertumbuhan pasaran,” katanya.

Pada masa ini, Leong Hup International menghasilkan 36 juta anak ayam setahun, menjadikannya pengeluar ayam itik bersepadu tiga teratas di Vietnam.

“Kami sangat yakin dengan rantau ini. Kami mencatat pendapatan RM1.056 bilion dalam 10 tahun operasi pada 2017 dan kami berharap ia akan lebih kukuh pada masa depan,” katanya sambil menambah bahawa pada 2017, operasi di Vietnam menyumbang 19.2 peratus kepada pendapatan kumpulan.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, Leong Hup International mencatat pertumbuhan 5.5 peratus dalam keuntungan bersih selepas kepentingan minoriti kepada RM192.6 juta.

Pendapatan meningkat 4.7 peratus kepada RM5.5 bilion daripada RM5.24 bilion pada 2016.

— BERNAMA