Malaysia Dateline

‘Lepas Asar datang tau’, cara budak ini jemput penyanyi otai rock raih pujian warganet

“Lepas Asar datang tau”. Itu kata seorang kanak-kanak lelaki ketika menjemput penyanyi otai rock, Amy Search ke majlis hari lahirnya.

Dia bahkan menyebutkan tajuk lagu dendangan Amy, “Fantasia Bulan Madu” yang diterbitkan 35 tahun lalu sekali gus membuktikan dirinya peminat setia penyanyi itu.

Sebelum meninggalkan Amy yang serentak membuat rakaman video ketika dijemput, kanak-kanak berbaju putih tersebut mengucapkan salam.

Dia kemudiannya pergi dengan alat mobiliti peribadi (PMD) iaitu skuter kuasa manusia.

Amy dalam kapsyen video ringkas yang dimuatnaiknya di Facebook memberitahu budak lelaki itu sudah dua kali menjemputnya hadir.

“Dia cakap atuk dia pun ada nak bergambar dengan uncle (Amy). Keluarga orang Muar jugak,” tulis Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman.

Rata-rata warganet memuji kanak-kanak berkenaan dengan menyifatkannya beradab sopan ketika bercakap dengan penyanyi yang telah menerbitkan lebih 20 album studio yang laris di pasaran itu.

“Dengan jemputan dan akhiri dengan salam tu. Boleh rasa, baik budaknya ni dapat didikan dari orang tua dia,” kata Shahrizal Rizal.

Dalam masa sama, orang ramai memuji penyanyi yang juga pelakon filem “Fenomena” (1990) itu kerana dilihat rendah hati melayan permintaan kanak-kanak itu.

Hajat budak lelaki itu kemudiannya tertunai apabila Amy benar-benar memenuhi jemputan itu.

Kanak-kanak itu bergambar dengan Amy di depan meja makan dengan hidangan yang dipercayai majlis hari lahirnya.