Malaysia Dateline

Lepas dikritik tidak jaga kementerian, bahasa Inggeris Rina pula ditegur

Selepas dikritik kerana menggayakan busana persis model di pejabatnya, Datuk Seri Rina Harun sekali lagi menjadi perhatian warganet kerana sebutan bahasa Inggeris yang dilontarkannya tidak tepat.

Perkara itu ditegur selebriti Adibah Noor yang juga pernah menjadi seorang guru bahasa Inggeris sebelum ini.

Video yang dirujuk Adibah merupakan video rakaman Rina untuk kementeriannya yang ketika itu beliau mengenakan baju berwarna biru.

Adibah kelihatan terkejut dengan sebutan bahasa Inggeris Rina lalu menegur dan memperbetulkan sebutan yang betul bagi perkataan ‘doubt’ yang bermaksud keraguan.

“Mari kita belajar sebut perkataan ini (doubt),” tegur Adibah dalam videonya.

Menurut Adibah perkataan ‘doubt’ yang sepatutnya disebut tanpa bunyi ‘b’ kedengaran.

Selain itu, contoh sama turut Adibah kongsikan dengan berkataan ‘debt.‘

Terdahulu, melalui Instagramnya pada 11 Februari 2021, Rina memberikan ucapan untuk sidang maya keenam, Sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59) United Nations (UN), New York.

Kedengaran agak banyak kesilapan sebutan Bahasa Inggeris yang telah dituturkannya, pengikut Rina di Instagram turut meninggalkan komen antaranya meminta beliau mengikuti kelas bahasa Inggeris.

“Lebih banyak speak English ye Datuk,” tulis Jamalia Kamarudin.

“Oh my English,” tulis Azizieafizul.

Baru-baru ini, Adibah juga pernah menegur seorang pembaca berita yang tersalah dalam sebutan bahasa Inggeris.

Rina ketika ini menjadi sasaran kritikan orang ramai apabila beliau didakwa tidak memberi tumpuan kepada kerja-kerja di bawah kementeriannya selepas imejnya lebih menonjol dilihat sebagai model.