Malaysia Dateline

Lepas dua bulan baru warga asing dibenarkan solat jemaah

Keputusan untuk tidak membenarkan warga asing menunaikan solat jemaah di surau dan masjid dijangka hanya untuk tempoh dua bulan sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan akan memastikan agar warganegara Malaysia yang hendak solat jumaat diberikan peluang dahulu untuk melaksanakannya.

“Kita mengizinkan surau-surau biasa untuk lakukan solat-solat Jumaat dengan syarat mereka minta kebenaran dari Jawi dan juga daripada Pejabat Mufti agar ia boleh dipantau dengan sebaik mungkin.

“Apabila keadaan ini sudah stabil dan kita fahami dengan sebaiknya, inshaaAllah selepas daripada ini kita akan tengok pula berkenaan dengan warga asing.

“Ia akan ambil masa sedikit sebulan atau dua bulan. Selepas daripada itu kita memang akan menyuruh mereka melakukan ibadat,” katanya dalam sidang media di Masjid Al-Khasyi’in di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau hadir merasmikan Program Cuci-cuci Masjid Pasca Covid-19 & Musa’adah Covid-19.

Pada 3 Julai lalu, Zulkifli mengumumkan warga asing masih lagi tidak dibenarkan solat berjemaah biarpun wujud gesaan agar kerajaan menyemak semula keputusan tersebut.

Menurutnya, kerajaan sedang meneliti laporan untuk mengenalpasti kelemahan dan kekurangan yang perlu dibaiki.