Malaysia Dateline

Lepas gaji penjawat awam naik, rakyat harap lepas ini kaunter buka lagi banyak

Pada semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56.

Pengumuman itu menimbulkan banyak reaksi dari kalangan warga maya yang berpendapat kerajaan hanya mementingkan penjawat awam.

Bagaimanapun dalam reaksi terbanyak yang mungkin agak popular sekarang, rata-rata bersetuju dengan saranan supaya kaunter-kaunter di agensi kerajaan harap dibuka sepenuhnya seiring dengan kenaikan gaji.

“Tahniah kepada yang naik gaji. Semoga 10 kaunter yang buka cuma 2, menjadi 3 kaunter dibuka,” tulis warga maya di Facebook.

Sindiran berkenaan isu kaunter menarik banyak komen dari pengguna media sosial yang rata-rata bersetuju dengan harapan yang disebutkan.

Ini kerana sebelum ini sudah banyak kali orang awam mengadu tentang masa menunggu yang terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu urusan di agensi kerajaan.

Antaranya disebabkan banyak kaunter yang tidak dibuka.

Justeru susulan kenaikan gaji ini, banyak harapan dari orang ramai agar urusan di agensi kerajaan ditambah baik.

“Gaji naik tapi kaunter tetap kosong. Ada 8 kaunter tapi 2 je yang buka. Ubah la yang ini dulu baru lah ubah gaji dia orang. Jangan hanya pandai tabur gula-gula tapi tak pantau pun penjawat awam itu,” tulis warga maya di Facebook.

“Kena buka semua kaunter tu terutamanya yang angkat panggilan. Bila telefon je suara mesin memanjang. Acah-acah sibuk. Dah macam tak ada pekerja. Syarikat besar, pejabat kosong. hampeh,” komen warga maya yang lain.

Bagaimanapun ada yang menegur pemikiran yang beranggapan semua penjawat awam bekerja sebagai penjaga kaunter.

Menurut salah seorang pengguna media sosial di Facebook, mereka berkata isu kaunter ini ramai yang tidak faham dan hanya mereka yang pernah duduk di meja itu yang akan faham.

Malah ada juga yang tidak bersetuju apabila orang ramai cuba mengaitkan penjawat awam dengan isu kaunter yang sedikit.

“Asal penjawat awam je mention jaga kaunter. Jangan lupa askar cikgu, polis, jururawat, doktor dan lain-lain pun penjawat awam…besar jasa mereka pada kita semua,” tulis pengguna FB.

“Oh baru saya tahu, kerja kerajaan ni jaga kaunter ja semua,” sindir pula pengguna lain.

Baca juga: Aksi abang bomba ‘tunjuk otot’ buat suasana Dataran Merdeka bertukar gamat