Lepas hukuman penjara, Adun Meru didenda RM1,800

Lepas hukuman penjara, Adun Meru didenda RM1,800

Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kepada denda RM1,800 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Keputusan itu dibuat  panel tiga hakim yang diketuai Hakim Umi Kalthum Abdul Majid  yang  sebulat suara untuk mengketepikan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan sebelum ini.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Harminder Singh Dhaliwal dan Stephen Chung.

Peguam Arif Hazami Hussin yang mewakili Mohd Fakhrulrazi berkata, hakim menerima hujahan barisan peguambela hari ini.

“Selepas kita menghujahkan, alhamdulillah mahkamah hari ini menerima hujahan.

“Hari ini mahkamah menerima allasan diberikan dengan pengantikan hukuman penjara kepada denda RM1,800.

“Alhamdulillah kes selesai. Kepentingan masyarakat terpelihara. tIdak perlu diadakan PRK dan boleh diteruskan khidmat beliau sebagai Adun,” ujarnya ketika ditemui diperkarangan mahkamah hari ini.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Mohd Fakhrulrazi dari Parti Amanah atas kesalahan menghasut pada perhimpunan Kita Lawan, 2015.

Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman dan sabitan kesalahannya.

Hakim, Azman Abdullah berkata keputusan mahkamah sesyen pada Ogos 2016 itu adalah “selamat dikekalkan”.

Menurutnya, Mohd Fakhrulrazi menggunakan loudhailer di perkarangan Sogo di Kuala Lumpur dalam menuduh kerajaan menzalimi Anwar.

Selain beliau, lapan aktivis lain termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut didakwa berkaitan perhimpunan sama.

Mohd Fakrulrazi yang ditemui diluar mahkamah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada barisan peguambelanya dan beberapa pihak yang menyokongnya selama kes itu berlansung.

” Terima kasih kepada peguam saya yang telah membantu saya hingga ke mahkamah rayuan.

“Terima kasih juga kepada kepimpinan parti dan pemuda di Dun Meru dan keluarga saya.

“Terima kasih juga kepada semua pengundi di Meru yang mendoakan saya yang memahami apa yang saya lakukan sebelum ini.

“Saya dijatuhkan hukuman sebelum ini kerana menentang kerajaan terdahulu (BN). Pada kali ini saya tidak mengunakan sebarang kabel politik untuk hadapi kes ini dan saya serah sepenuhnya kepada penghakiman bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Saya sebagai wakil rakyat PH telah membuktikan kita tidak sekali-kali akan mengunakan politik untuk mencampuri urusan penghakiman, itu yang membuatkan saya berpuashati,” ujarnya.