Malaysia Dateline

Selepas kes kontena mayat, pegawai Sanusi lapor polis pula kes balak di Gunung Jerai

Selepas kes Muhammad Sanusi Md Nor dikritik kerana membuat jenaka tentang kontena jenazah Covid-19, kali ini Menteri Besar Kedah itu dipersalahkan pula dengan isu banjir di kawasan kaki Gunung Jerai yang didakwa disebabkan aktiviti pembalakan.

Ekoran itu, pegawai kepada Sanusi, Zulkifli Yahaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak yang menyalahkan Adun Pas itu.

Zulkifli menerusi Facebooknya turut menyertakan gambar kertas laporan polis yang telah dibuatnya.

“Sejak semalam ramai yang dakwa kerajaan buat projek balak kat Gunung Jerai, sampai berlaku tragedi kepala air besar ya amat.

“Pasal tu, hari ini pakcik sekerat hari duduk kat balai. Pakcik pun sama dengan majoriti rakyat Kedah nak tahu tang mana ada projek balak kat Gunung Jerai? Lori balak boleh naik Gunung Jerai depa ghagaih ikut mana?

“Yang buat dakwaan tu bukan orang Kedah. Depa lebih tau dari rakyat Kedah yang duduk keliling Gunung Jerai. Harap-harap depa boleh bagitahu kat polis lepas ini,” kata Zulkifli.

Pada semalam, Sanusi menafikan dakwaan yang mengatakan banjir melibatkan beberapa kampung dan kawasan perumahan di kawasan kaki Gunung Jerai di Yan dan Kuala Muda pada Rabu adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

“Ada pihak segera menuding jari bahawa berlaku pembalakan di Gunung Jerai.

“Saya ingin mengesahkan bahawa laporan daripada Jabatan Perhutanan, tidak ada sebarang aktiviti pembalakan di Gunung Jerai sejak 30 tahun dahulu dan Gunung Jerai diwartakan sebagai kawasan hutan perlindungan,” kata Sanusi.