Malaysia Dateline

Lepas menang kamu khianat, Khalid cabar Azmin bertanding di Gombak PRU15

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar individu yang mengkhianat mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), untuk kekal bertanding di kawasan mereka pada PRU15.

Beliau menempelak kenyataan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bersatu-Gantang) yang mempertahankan tindakan mereka meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sehingga menjatuhkan gabungan itu.

Khalid berkata, Ahli-ahli Parlimen yang mengkhianat PH hakikatnya menang kerana sokongan rakyat yang mengundi wakil-wakil rakyat PH.

“Bukit Gangang kata tak ada salah (lompat). Eh awak diundi rakyat untuk bersama PH. Awak menang pilihanraya dengan undi penyokong PH.

“Awak khianat setelah awak menang dan awak lompat sehingga menyebabkan PH pilihan rakyat dijatuhkan.

“Saya cabar Gombak bertanding di Gombak dalam PRU15. Saya cabar Bandar Tun Razak untuk bertanding di Bandar Tun Razak. Kamu telah menang dengan sokongan PH dan kamu khianat. Itulah sebabnya undang-undang anti lompat perlu diadakan,” tegasnya dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen di Gombak, manakala Ahli Parlimen Bandar TunĀ  Razak ialah Datuk Kamarudin Jaffar dari Bersatu.