Malaysia Dateline

Lepas seminggu, Reezal Merican muncul di Twitter ulas isu Veveonah

Selepas seminggu isu Veveonah Mosibin menjadi perdebatan dan pertikaman lidah antara timbalan menteri dan rakyat, akhirnya Menteri Belia dan Sukan pula tampil bersuara.

Bagaimanapun, Datuk Seri Reezal Merican Naina sama sekali tidak menyentuh isu berbangkit terutama berhubung dakwaan lantang yang dikeluarkan dua timbalan menteri Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu siri hantaran Twitternya, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Veveonah telah berjaya menunjukkan kegigihan anak muda untuk menimbal ilmu dan membawa permasalahan kemudahan asas di kawasan pedalaman.

“Daripada video pertama #Veveonah muatnaik, dia bukan saja tunjuk kegigihan anak muda timba ilmu tetapi membawa isu kemudahan asas kawasan pedalaman yang perlu dibangunkan ke tahap nasional.

“Anda inspirasi anak muda yang perjuangkan diri dan rakyat. Keep moving forward (terus maju kehadapan). Your time is now (ini masa untuk anda),” kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Sementara itu, pengguna Twitter mula mempertikaikan tindakan menteri terbabit yang hanya muncul selepas seminggu, selain ada juga yang menyifatkan kenyataan Reezal sebagai ‘play safe’.

“Tak apa YB lambat. Biasalah susah nak catch-up dengan anak muda ni,” tulis pengguna menggunakan akaun nama Pemerhati.

Pengguna Sadik pula mempersoalkan ke mana beliau menghilang selama ini.

“Lembablah menteri. Macam mana nak kejar pemuda pemudi kalau macam ini? Saya nak tanya, mana menteri pergi sembunyi selama ini? Bertapa kat gua mana?” bidasnya.