Lepasi sekatan, Serantau Muslim teruskan misi Food Flotilla di Arakan

Lepasi sekatan, Serantau Muslim teruskan misi Food Flotilla di Arakan

Beberapa bulan lalu, seluruh dunia telah terarah kepada misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar yang digagaskan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia.

Misi yang turut disertai beberapa NGO dari 13 buah negara berbeza tersebut telah menggemparkan semua pihak termasuklah kerajaan Myanmar biarpun kelancarannya tidak mengikut perancangan awal kerana terpaksa menghadapi pelbagai sekatan dan rintangan.

Rentetan daripada itu, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) telah meneruskan usaha mengumpul dana bagi memastikan misi flotilla dapat diteruskan dan kesedaran masyarakat terhadap nasib umat Islam Rohingya dapat dikekalkan.

Serantau Muslim telah mengadakan satu misi kemanusiaan untuk menghantar sumbangan yang berjaya dikumpulkan ke wilayah bergolak Rakhine (Arakan), lokasi yang diduduki oleh umat Islam Rohingya.

Biarpun dimaklumkan kesukaran untuk melepasi wilayah sekatan tersebut, Serantau Muslim tetap berusaha untuk melepasinya bagi menyalurkan sumbangan kepada umat Islam Rohingya yang dizalimi.

Hasil bantuan beberapa pihak terutamanya daripada NGO Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) , Serantau Muslim telah berjaya untuk memasuki wilayah sekatan yang meliputi perkampungan-perkampungan etnik Rohingya yang dikepung oleh pemerintah Myanmar.

Misi tersebut telah memakan masa selama tiga hari iaitu 19 hingga 21 April lalu biarpun hanya diberikan masa tujuh jam sahaja daripada pihak berkuasa untuk memasuki perkampungan tersebut.

Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, beberapa perkampungan telah dipilih untuk menerima bantuan berupa keperluan makanan seharian.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah permulaan fasa dan akan diteruskan dengan beberapa misi seumpamanya lagi selepas ini terutama dalam menghadapi bulan Ramadhan tidak lama lagi.

“Ini adalah permulaan misi kami, banyak lagi misi besar yang akan kami laksanakan selepas ini.

“Serantau Muslim akan menggiatkan lagi usaha untuk mengumpul sumbangan orang ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui semasa misi kemanusiaan tersebut.

Raja Iskandar menyatakan, banyak penemuan mengejutkan mengenai kedaifan etnik Rohingya dalam misi ini sekaligus membuka banyak ruang dan peluang yang wajar ditawarkan kepada masyarakat untuk menghulurkan bantuan termasuklah pembinaan masjid, sekolah, wakaf telaga air, pembinaan tandas, pembinaan sekolah dan sebagainya.

Menyampaikan sumbangan pembinaan masjid

“Kami yakin rakyat Malaysia sangat bermurah hati dan peduli terhadap nasib umat Islam yang dizalimi.

Dalam pada itu, Setiausaha Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim akan menawarkan pakej bantuan makanan Ramadhan melalui kempen #ramadhanuntukrohingya.

“Kami menyasarkan sekurang kurangnya 3,000 keluarga Rohingya di Arakan dapat dibantu semasa Ramadhan kali ini. Pek bantuan satu keluarga dianggarkan bernilai RM 100 meliputi beras, kacang dhal, gula, garam, minyak masak dan tepung.

“Kami mensasarkan hasil terkumpul sebanyak RM 300,000 untuk kempen #ramadhanuntukrohingya akan disampaikan sebanyak tiga kali iaitu pada permulaan, pertengahan dan penghujung Ramadhan”.

Menurut beliau lagi, keistimewaan kempen #ramadhanuntukrohingya ini ialah bantuan ini dapat tembus terus ke wilayah konflik Arakan berdasarkan kepada pengalaman Serantau Muslim yang berjaya memasuki perkampungan Rohingya di Arakan (Rakhine).

“Masyarakat yang berminat untuk menaja makanan keperluan harian etnik Rohingya khususnya dalam bulan Ramadhan untuk membolehkan mereka berbuka puasa dengan sempurna, bolehlah menghubungi talian 010-8659407 ataupun terus melayari laman web www. untukmurohingya.com untuk penajaan secara online. “

Sehingga kini, kerajaan Myanmar masih lagi meneruskan dasar menindas etnik Rohingya walaupun kelihatan sedikit kendur hasil tekanan masyarakat antarabangsa termasuklah misi Food Flotilla For Myanmar.

TAGS