‘Lepaskan baton kepimpinan kepada Anwar’

‘Lepaskan baton kepimpinan kepada Anwar’

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan peralihan kepemimpinan tertinggi negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun hadapan.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam merupakan protes kepada PH.

“Ini bukan isu rakyat sokong BN. Tetapi protes kepada PH. Baton kepimpinan perlu dilepaskan kepada Anwar selewat-lewatnya 10 Mei 2020,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berpendapat peralihan besar-besaran undi Cina adalah satu isyarat yang jelas dan harus difahami termasuk mereformasikan PH.

Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan protes tersebut yang diterjemahkan melalui kejayaan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memperoleh majoriti 15,086 undi adalah bersifat sementara.

“Tetapi jika tiada peralihan kuasa dan perubahan-perubahan polisi, PH akan kalah dalam PRU-15,” tegasnya.

Mengulas kemenangan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu dengan mengaut 25,466 undi, Dr Mazlan berkata, hal tersebut adalah di luar dugaan mana-mana pihak memandangkan majoriti diperoleh terlalu besar.

“Meskipun badan-badan penyelidik yang menyatakan BN akan menang selesa, namun tiada yang menjangka majoriti melebihi 15,000 undi.

“Ilham Center dan TSIS (Institut Strategi dan Integriti Terengganu) mengatakan BN akan menang selesa sekitar 4,000 hingga 5,000 undi majoriti.

“Paling jauh adalah kajian oleh firma milik MCA, iaitu Industrial Skills Enhancement Programme (Insep) mengatakan BN akan menang 7,000 undi majoriti,” tambahnya lagi.

PH sebelum ini telah mencapai konsensus membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh penggal PRU-14.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 22 Oktober lalu mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU-14.

PH tersungkur di penghujung selatan Benua Asia semalam.