Malaysia Dateline

Lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu, politik negara tidak akan stabil selagi ‘pemimpin lama’ masih aktor utama

Selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU-14, rakyat menaruh harapan besar negara akan berubah dari politik kleptokrat ke politik demokrat.

Namun, tidak tahu di mana salahnya, selepas PRU-14, bukan politik demokrat yang kita dapat, tetapi politik yang terencat.

Sejak 2018, kita telah mempunyai tiga PM. Dengan tiga PM ini, apa yang dapat dilihat ialah ekonomi negara tidak terurus baik, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat, nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah, dan hutang negara membengkak.

Kita juga telah mempunyai empat PRN – Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor- sejak 2018. Semua ini dilakukan dalam keadaan Covid-19 masih mengganas kerana kegilaan kuasa.

Lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu, politik negara tidak akan stabil selagi 'pemimpin lama' masih aktor utama
Biar urusan operasi harian parti diuruskan oleh orang baharu.

Dalam kempen, kita melihat isu yang sama dimainkan—perkauman, penyelewengan, dan janji kestabilan. Hidangannya menu lama.

Daripada segi pelaksanaan pilihan raya, SPR masih belum meyakinkan bertindak sebagai sebuah badan yang bebas dan adil. SOP pilihan rayanya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Perlukah PRU-15 dipercepatkan?

Pertanyaannya, selepas empat PRN, semakin majukah empat negeri tersebut? Dalam konteks negara pula, semakin stabilkah politik kita? Semakin yakinkah pelabur kepada negara kita? Semakin perlukah kita kepada PRU-15 dipercepatkan?

Saya pesimis untuk memberikan jawapan positif kepada semua pertanyaan di atas. Pada hemat saya, politik negara tidak akan stabil selagi pemimpin parti sekarang masih lagi sebagai aktor utamanya.

Oleh itu, sampai masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu. Bukan mereka tidak hebat, tetapi tuntutan sekarang tidak sesuai lagi dengan gaya kepemimpinan mereka.

Khusus untuk Tun, DSAI, TSMY, DSNR, DZH, TGHH, LGE, MS – lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu.

Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan oleh orang baharu.

Lakukan ini sebagai jasa bakti kepada negara. Negara perlu bergerak cepat ke depan dan ini memerlukan tenaga dan idea baharu untuk menggerakkannya.

Politik Malaysia perlu disuburkan. Kita perlukan kesegaran.

Baca Juga: https://malaysiadateline.com/kerajaan-ini-perlu-pergi-kata-prof-agus/

Baca Juga: https://themalaysialife.com/habis-musnah-sekelip-mata-lebih-700-rumah-di-tawau-terbakar/