Masuk hospital selalunya untuk hilangkan kesakitan tapi tambah masalah pula bila ada yang panjang tangan dalam kawasan tersebut.
Mana tidaknya pesakit yang dimasukkan tanpa sedar pastinya tidak mampu menjaga barangan peribadi sendiri dan seharusnya pihak bertugas membantu untuk menjaganya.
Menurut The Mirror UK, seorang wanita di Britain yang tersedar daripada koma terkejut apabila mendapati wang sebanyak £5,700 (RM34,336) lesap dalam akaun simpanannya.
Wanita yang dikenali sebagai Abbey Carter dipindahkan ke Hospital Universiti Diraja Stoke apabila mengalami sawan.
Ini adalah selepas wanita berusia 29 tahun itu menerima rawatan bahu di Hospital Haywood di Burslem.
Abbey hanya menyedari bahawa barang peribadinya hilang termasuk dompet dan mendakwa lokasi terakhir telefon bimbitnya adalah di Birmingham.
“Telefon itu adalah talian hayat kepada saya yang menghidap epilepsi.
“Saya telah menetapkan peringatan untuk beberapa perkara kerana saya boleh melupakan perkara dengan mudah apabila mengalami epilepsi,” ujarnya.
Pada masa sama Abbey memaklumkan dia mempunyai kira-kira £8,000 (RM48,191.28) di dalam akaun banknya yang disimpan sejak bertahun-tahun.
Apa yang membimbangkan adalah pihak polis dan hospital terbabit didakwa enggan membantunya.
“Hospital tidak menjaga barang peribadi dan polis berkata, tiada apa yang boleh mereka lakukan kerana ia berada di bawah tanggungjawab hospital.
“Tiada apa juga tindakan yang boleh dilakukan oleh hospital, selain daripada menyuruh saya mengisi borang harta yang hilang,” tambah Abbey.
Baca juga: Pemilik kedai Melayu diminta mengucap, ‘disembur’ kerana gantung hiasan tanglung