Malaysia Dateline

Lesen Finas: Anak muda paling terkesan, hujjah menteri tidak masuk akal

Keputusan mengejut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mewajibkan semua pengeluar video dan filem mengambil lesen Finas dibidas sebagai tindakan yang sengaja menyekat usaha anak muda untuk terus berkarya.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Khairuddin Daud berkata, Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja sebuah kerajaan minoriti, bahkan sudah menjadi gabungan yang menyekat kebebasan rakyat bersuara dan berekspresi.

Khairudin Daud
KHAIRUDDIN DAUD

Apatah lagi katanya, untuk mendapatkan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), seseorang individu itu perlu mengeluarkan modal sehingga RM50,000.

“Tidak masuk akal hujah Saifuddin bahawa kerajaan ‘menggalakkan semua orang, kecil, besar, tua, muda, individu atau organisasi mengeluarkan apa-apa jenis filem’ tetapi pada masa yang sama menyusahkan rakyat mendapatkan lesen Finas dan surat Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

“Syarat bagi mendapatkan lesen pula mestilah syarikat Sdn.Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang dari RM50,000

“Tindakan ‘memaksa’ semua penerbitan mempunyai lesen Finas membantutkan anak muda untuk terus berkarya, meraih peluang pendapatan menerusi indstri kreatif dan tontonan di Youtube, Facebook dan media sosial yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, menetapkan bahawa mereka yang menerbitkan filem di media sosial, wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Permohonan lesen juga perlu dilakukan sama ada mereka dari agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Ketika ini, dua ahli Parlimen Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Fahmi Fadzil turut mempertikaikan keputusan yang diumumkan Saifuddin itu.

Justeru, Khairuddin berkata, sebagai sebuah kerajaan yang galak menggunakan istilah ‘Prihatin’, Perikatan Nasional seharusnya membantu rakyat dalam menggalakkan anak muda membuat penerbitan yang berkualiti setanding luar negara.

Malah, sewajarnya lebih banyak insentif, latihan dan penghargaan diberikan sebagai galakkan kepada anak muda untuk terus berkarya.