Malaysia Dateline

Lesen Finas untuk jana pendapatan: PN sudah kekeringan idea

Kerajaan Perikatan Nasional dibidas ibarat sudah kekeringan idea untuk menjana pendapatan apabila mewajibkan individu yang mahu menerbitkan filem di media sosial, perlu memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia wajar membatalkan cadangan tersebut yang hanya akan menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk berkarya.

Menurutnya, cadangan itu jika dilaksanakan, akan merangkumi apa sahaja video atau filem pendek yang disiarkan di laman sosial, termasuk YouTube, Facebook, Instagram, dan Twitter.

“Adakah kerajaan PN sudah kekeringan idea untuk menjana pendapatan kerajaan sehingga mencadangkan untuk mengawal industri ini?

“Adakah tujuan cadangan mewajibkan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini bagi menyekat kebebasan ekspresi dan berpolitik?

“Di era moden dan norma baharu, kerajaan PN seharusnya lebih terbuka untuk membenarkan rakyat berpartisipasi dalam pandangan politik supaya kematangan demokrasi dapat dibina dalam kalangan rakyat terutama anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Adun Permatang Pasir itu berkata, kerajaan seharusnya menggalakkan pembabitan dalam industri online yang merangkumi filem atau video pendek bagi merangsang ekonomi rakyat.

Namun katanya, dengan langkah regresif ini, ianya bakal menambah kesusahan hidup rakyat lebih-lebih lagi apabila ramai anak muda mula mencari pendapatan melalui medium online dan kawalan ini sama sekali tidak harus dilaksanakan.

Malah, bayaran yang bakal dikenakan kepada pemohon lesen sudah pasti membebankan rakyat terutama ketika berhadapan situasi ekonomi yang lembap disebabkan kesan pandemik Covid-19.

“Sekiranya video atau filem itu berbentuk tohmahan, mengandungi unsur hasutan, membangkitkan ketegangan kaum atau mengganggu ketenteraman awam, kerajaan PN boleh sahaja bertindak di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh itu, tiada justifikasi untuk melaksanakan cadangan pelesenan Finas ini. Justeru, adalah wajar cadangan ini dibatalkan,” katanya.