Malaysia Dateline

Lesen peniaga: Ahli majlis boleh jadi perantara

Danial sedang berbual dengan salah seorang peniaga di Jalan Platinum, Seksyen 7, Shah Alam.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Danial Al Rashid Haron berkata, urusan permohonan lesen penjaja, premis dan pasar boleh diusahakan dengan kerjasama Ahli Majlis dan Jabatan Perlesenan di pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Menurutnya, setiap permohonan lesen terbabit di MBSA akan diambil pertimbangan dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan yang dianggotai Ahli Majlis, Datuk Bandar dan pengarah-pengarah jabatan.

“Jika permohonan ditolak, selalunya kerana lokasi dan jenis perniagaan tidak sesuai. Tapi boleh buat rayuan semula dengan cadangan lokasi lain sehinggalah keputusan terbaik dibuat.

“Semua ini boleh diusahakan dengan kerjasama ahli majlis dan Jabatan Perlesenan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Danial yang juga Jawatankuasa Pemuda AMANAH Selangor berkata, beliau setakat ini telah mengusahakan dua lokasi penjaja sementara menempatkan 30 penjaja di Jalan Plumbum dan 45 penjaja di Jalan Platinum.

“MBSA sedia faham keadaan ekonomi penduduk dan semalam pun telah jalankan temuduga gerai majlis bagi memberikan ruang lebih ramai untuk berniaga di premis majlis,” katanya.

Bilangan peniaga

Ditanya tentang penyampaian lesen penjaja sementara yang telah diluluskan di Jalan Platinum, Seksyen 7 hari ini, ahli Majlis Zon 3 MBSA berkenaan berkata, terdapat 15 tapak untuk setiap sesi di kawasan itu.

“Untuk setiap sesi, ada tiga sesi pagi, petang dan malam. Jadi, boleh muat 45 peniaga sehari.

“Usaha mereka memohon lesen perniagaan sekian lama akhirnya telah tercapai setelah saya bawa dalam beberapa kali mesyuarat Perlesenan.

“Kebanyakan yang berniaga ialah anak muda yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan. Moga terus sukses,” ujarnya.

Menjawab dakwaan kononnya MBSA tidak memudahkan urusan perlesenan kepada peniaga tempatan, Danial berkata, kelulusan tersebut bergantung kepada lokasi dan bilangan peniaga.

“Ini kita perlu lihat pada permintaan. Sekiranya ada, akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan untuk dibincangkan dari segi kesesuaian lokasi dan bilangan peniaga.

“Ahli majlis boleh menjadi perantara peniaga dan majlis. MBSA sedia membantu penjaja yang ingin menjalankan perniagaan disamping mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya lagi.

Ahli majlis perlu jadi perantara berkesan antara peniaga dengan PBT.