Lesen PSV: Istilah ‘masih dalam proses’ tidak boleh diterima, kata Persatuan Teksi Malaysia

Lesen PSV: Istilah ‘masih dalam proses’ tidak boleh diterima, kata Persatuan Teksi Malaysia

 

Istilah ‘masih dalam proses’ untuk mendapatkan dokumen lengkap membawa kenderaan e-hailing, dilihat tidak boleh diterima dan secara langsung menyalahi undang-undang sekiranya berlaku.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berpendapat, pihak penguatkuasaan perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka terlibat dan bersubahat, termasuk syarikat aplikasi yang membenarkan pemandu terbabit beroperasi di platform mereka.

Beliau berkata, jika syarikat aplikasi sengaja membenarkan pemandu-pemandu kereta sapu e-hailing yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap beroperasi dengan menggunakan aplikasi mereka, ianya jelas membuktikan sesuatu.

“Itu jelas membuktikan bahawa mereka tidak menghormati keputusan Kerajaan dan dengan sengaja sekali lagi mencabuli Kedaulatan Undang-Undang Negara.

“Kerajaan perlu bertindak tegas, dan tidak boleh berkompromi lagi terhadap mana-mana syarikat aplikasi yang masih membenarkan pemandu-pemandu kenderaan e-hailing tidak mempunyai dokumen lengkap, beroperasi di aplikasi mereka.

“Tindakan tegas perlu diambil kepada pemandu-pemandu tersebut yang beroperasi secara haram, malah tindakan tegas termasuk pengharaman juga perlu diambil kepada mana-mana syarikat aplikasi yang terlibat membenarkan pemandu yang masih tidak sah beroperasi dalam aplikasi mereka.

“Kami percaya hanya tindakan tegas sahaja mampu menyelesaikan isu pengoperasian kereta sapu e-hailing haram, namun tindakan tersebut perlu diambil kepada kedua-dua pihak dan tidak hanya terjurus kepada pemandu kendeaan e-hailing haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu tegas dalam perlaksanaan peraturan e-hailing.

“Jika beliau (Anthony Loke) masih berkompromi dan memberi kelonggaran, itu jelas membuktikan bahawa beliau tidak mengamalkan prinsip menjunjung Kedaulatan negara dan telah membuat satu lagi pusingan U.

“Kami harap Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memastikan semua syarikat-syarikat aplikasi menghormati keputusan Kerajaan dan membantu Kerajaan menangani isu e-hailing (hanya pemandu yang ada dokumen lengkap sahaja boleh beroperasi).

“Kami berharap pihak MOT tidak bersandiwara dan terus memperbodohkan kami, namun jika perkara itu berlaku, kami tidak akan teragak-agak untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran di ibu negara.

“Perhimpunan itu bertujuan untuk mendesak kerajaan Pakatan Harapan membuktikan bahawa mereka sebuah kerajaan yang bersih dan mengamalkan prinsip Rule Of Law dengan merehatkan Anthony Loke dari MOT,” jelasnya lagi.