Ramai juga yang bertanya soalan ini kepada saya ” YB , kenapa YB benci sangat pada ‘parti ehem’ (Pas) dan selalu hentam parti itu?”
Pada awalnya saya malas nak melayan soalan itu kerana bagi saya soalan itu tak betul atau tak tepat. Kami -orang undang-undang – kata ia adalah “a non- sequitor” .
Tetapi bila kerap sangat ditanya insyaAllah saya cuba jugalah jawab. Orang putih kata “to put or set the record straight”.
Jujurnya, saya tidak membenci ‘parti ehem’. Saya lama dalam parti itu sejak di bangku sekolah lagi dan boleh dikatakan membesar dengan parti itu.
Semasa di ‘parti ehem’, saya telah cuba sedaya upaya saya menggunakan sekelumit kemahiran yang saya ada untuk membantu parti sekadar yang saya mampu tetapi saya akui ianya tidak seberapa pun mungkin hanya 0.0001 peratus sahaja.
Hanya satu faktor sahaja yang menarik saya menyertai ‘parti ehem’- Islam. Ironinya, apabila saya keluar dari parti itu dan bersama parti AMANAH ia juga didasari atas faktor tunggal yang sama – Islam. Islam pulled me to Pas. Ironically , it also pushed me away from Pas.
Bagaimana mungkin saya boleh dituduh membenci parti yang lama saya ceburi? Itu hampir mustahil. Saya kagum dengan perjuangan dan ketelusan pengorbanan dan pemikiran para tokoh ‘parti ehem’ seperti Almarhum Pak Yusof Rawa, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan ramai lagi.
Saya juga hingga kini, masih sayang dengan para ahli ‘parti ehem’ di peringkat bawahan. Silaturrahim saya dengan mereka insyaAllah masih utuh.
Malah, masih ada ahli keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan saya dalam ‘parti ehem’. Saya sama sekali tidak memusuhi mereka hatta jika diandaikan mereka memusuhi saya sekalipun.
Maaf, jika saya katakan mereka ini, bagi saya, amat ikhlas berjuang. Ya, sudah tentu saya hanya mampu ukur dari sudut zahir sahaja.
Akan tetapi , bagi saya, malangnya para ahli bawahan itu tidak tahu sepenuhnya apa yang sebenarnya berlaku pada parti yang mereka dokong itu.
Sistem wala’ yang begitu kuat mencengkam mereka. Boleh dikatakan mereka yang bersifat kritis kepada parti jika dilihat parti “menyimpang”, kini umumnya sedang berada di dalam parti AMANAH.
Para pemimpin AMANAH kerapkali dan sering difitnah oleh para pemimpin ‘parti ehem’ seolah-olah mereka telah meninggalkan perjuangan Islam. Kenyataan itu, bagi saya, bersandarkan premis yang amat salah iaitu kami semua seolah-olah tidak lagi sayang kepada Islam.
Ya, mungkin sahaja kami tidak sehebat atau sesuci mereka semua kerana kami ini sering dilabel dengan pelbagai label yang kasar dan negatif – jebon adalah label yang paling popular.
Tetapi saya amat kenal dengan kawan-kawan saya dalam parti AMANAH. Saya berani katakan Islam itu amat dekat dengan hati mereka.
Walau bagaimanapun, bukan Islam yang amat mudah mendakwa “mereka (orang Islam) itu dilihat seolah-olah lebih suci dan lebih baik dari orang lain”. Itu bukan “genre” Islam yang AMANAH.