“Letak daun limau purut je pun, lainlah kalau tambah ‘cheese’ dalam nasi lemak baru boleh perang!”

Oleh NASUHA RAHMAN

Masak nasi lemak letak daun limau purut, pempengaruh media sosial Khairul Aming dikecam netizen namun ramai yang ‘back up’ chef selebriti itu dan menyifatkan tindakan dia bukan satu kesalahan.

Pemuda berusia 30 tahun itu mendapat kritikan daripada seorang warganet yang mempersoalkan cara dia memasukkan daun limau purut.

Menurut individu tersebut, dia mempertikaikan penggunaan daun limau purut yang diletakkan di dalam nasi tersebut kerana kebiasaannya hanya daun pandan sahaja digunakan.

Pembina kandungan masakan Kamarul Ariffin Nor Sadan berpandangan setiap hidangan ada panduan dan aturan, tetapi tidaklah ia terlalu tegar (rigid) setiap orang ada ruang untuk gunakan kreativiti, bereksperimentasi, atau untuk mengelat.

“Mengelat ni maksudnya kita ringkaskan cara masakan. Kisar bahan sekaligus, tak tumis asing-asing. Tak rebus lama, sebab pakai Noxxa. Tak giling cili guna batu, pakai TM6. OK je, kan?

“Jika tambah daun limau, saya anggap ia bahan yang masih boleh diterima. Lainlah ditambahnya cheese (keju) dalam nasi lemak atau sambal. Itu memang perlu diperangi. Hehe!”

“Kebanyakan kita membesar dengan masakan emak. Oleh kerana itu, kita paling senang atau suka pada rasa masakan emak kita. Namun tak bermakna resepi mak kita paling sedap dan betul.

“Setiap rumah, resepinya berlainan. Banyaklah faktor kenapa ia tidak sama. Mungkin faktor citarasa, kemampuan kewangan, kemampuan masa, pengaruh budaya lain, dan sebagainya.

“Selagi mana rasanya tidak terlalu asing atau tersasar jauh, maka tiada masalah.

“Tenang-tenang sudahlah. Kalau nampak orang kongsi resepinya cara masakan lain daripada kita, dan kita rasa cara kita lebih sedap, maka kongsikan sahajalah cara kita. Tak perlu kecam,” kata beliau.

Chef selebriti Nazatul Fairuz yang juga pemilik FB Buat Orang Lapo pula berpendapat tindakan Khairul Aming itu tidak salah selagi mana rasa yang terhasil sedap dan tak lari jauh dari asal.

Bahkan katanya, setiap orang berbeza dan tidak semestinya resepi asal wajib masuk bahan A dan perlu letak bahan A juga.

“Ni pendapat peribadi saya la ye, pada saya tak salah pun ape yang KA buat tu selagi mana rasa yang terhasil tu sedap dan tak lari jauh.

“Resepi setiap orang kan berbeza-beza, jadi raikan jelah perbezaan. Tak semestinya resepi asal tu kene masuk bahan A jadi kita yang memasaknya wajib letak bahan A juga.

“Apa salahnya kalau kita masukkan bahan B jika bahan B tu kena dengan selera kita,” tulis Buat Orang Lapo.

Nazatul juga biasa mendapat komen seperti itu seolah-olah resepi yang dikongsi salah dan derhaka serta berdosa kepada pencipta resepi.

“Biasanya saya endahkan je komen-komen macam ni, kalau awak tak suka resepi saya, saya pun tak perlu suka komen awak, delete je lah. Baru la fair and square kan. hehehe.

“Tapi rata-rata follower saya semuanya baik-baik belaka, sentiasa meninggalkan komen-komen yang sangat murni.

“Biasanya yang acah-acah terpaling pandai masak ni yang suka lemparkan komen-komen kurang enak seperti yang KA kene tu.

“Ada satu kata-kata yang memang saya pegang dari dulu sampai sekarang yang biasa juga saya sebut dalam video-video saya “Kita yang buat dia, bukan dia yang buat kita” so suka hati kitalah nak masak macam mana pun.

“Janji sedap orang suka. Kalau korang nak olah resepi yang saya kongsikan pun saya tak kisah, lagi saya suka sebab korang kreatif.

Baca juga: Rasa bersalah lepas curi RM7.4 juta dari mesin ATM, lelaki ini serah diri pada pihak berkuasa