Restoran milik warga asing yang menjual menu dengan harga mahal menggunakan minyak subsidi diserbu baru-baru ini.
Hal tersebut dilihat tidak adil buat rakyat Malaysia yang membeli minyak tersebut untuk kegunaan di rumah.
Menurut Harian Metro, Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Diri (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan di dua restoran berkonsepkan Pakistan di Jalan Ipoh.
“Pemeriksaan di bahagian dapur restoran pertama menemukan 37 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi, manakala 39 kg minyak masak bersubsidi ditemukan di restoran kedua.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua restoran berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen atau permit barang kawalan bagi tujuan penyimpanan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Semakan dilakukan mendapati kedua-dua restoran terbabit dimiliki lelaki warga Pakistan masing-masing berusia 40-an.
“Mereka memegang status pemaustautin tetap yang berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu.
“Berdasarkan keterangan dua pemilik terbabit, mereka memaklumkan bahawa bekalan minyak masak bersubsidi itu diperoleh daripada pemborong di ibu kota ini.
“Dua pemilik ini memberikan alasan sama apabila ditanya mengapa menggunakan bahan kawalan berkenaan iaitu tidak mengetahui bahawa ia adalah barangan bersubsidi,” tambahnya.
Pihaknya juga sedang cuba mendapatkan maklumat pemborong yang membekalkan subsidi kepada golongan ini.
Perkara ini dilihat tidak adil kerana pengguna barang subsidi adalah jelas untuk mereka berpendapatan rendah atau B40 tapi ada pihak sengaja mengambil kesempatan.
Apatah lagi minyak RM2.50 sekilogram itu digunakan untuk menyaji makanan mewah dan dijual antara RM20 ke RM50 bagi satu sajian.
“Bayangkan jika kegiatan ini tidak terbongkar, mereka akan terus menggunakan kira-kira dua tan minyak masak subsidi sebulan yang jelas merugikan dan menjejaskan bekalan bagi golongan sasar iaitu B40,” katanya.
Baca juga: Kapal Israel pernah dibenar berlabuh di Malaysia pada 2002, ini alasan Tun Dr Mahathir