Malaysia Dateline

Letak jawatan jika tak sokong PN: ‘Badi kerajaan tebuk atap khianati mandat rakyat’

Sebelum menjadi kerajaan, Presiden Pas giat menyeru rakyat termasuk penjawat awam untuk menentang kerajaan tetapi apabila menjadi kerajaan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang u-turn pula dengan mencegahnya.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berpendapat tindakan Abdul Hadi itu tidak ubah seperti satu pemerintahan kuku besi yang gagal bermuhasabah atas kelemahan untuk mentadbir dengan baik, sebaliknya memaksa rakyat terutama penjawat awam menyokong mereka pula.

“Rakyat bukanlah robot yang boleh diatur, tetapi rakyat mempunyai akal untuk bijak menilai. Inilah badi kerajaan tebuk atap yang mengkhianati mandat rakyat, bertindak zalim dan membelakangkan demokrasi,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata, penjawat awam boleh sahaja meletakkan jawatan jika berasa tidak selesa dengan kerajaan pada masa ini.

Tahun lalu, Pas kembali menyertai Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang rentetan Langkah Sheraton dengan bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu serentak bekerjasama dengan Umno menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir berkata, kenyataan Abdul Hadi itu adalah bersifat ultra vires Perlembagaan dan undang-undang.

“Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang.

“Manakala undang-undang yang mengawalselia penjawat awam iaitu Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) tidak meletakkan penentangan terhadap parti pemerintah sebagai satu alasan tindakan tatatertib,” jelasnya.

Sehubungan itu, peguam berkenaan menegaskan penjawat awam bebas untuk tidak berasa selesa atau tidak menyokong parti pemerintah walaupun tugas hakiki mereka adalah melaksanakan dasar kerajaan semasa.

Walau bagaimanapun, katanya, jika sesuatu dasar itu bercanggah dengan norma atau pemikiran biasa, ketidakselesaan mereka adalah sesuatu yang wajar, sebagai contoh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi dan pandemik Covid-19, kecelaruan SOP dan dasar dua darjat.

“Penjawat awam juga berhak untuk menyatakan pandangan peribadi berkenaan dasar kerajaan memandangkan setiap dasar itu memberi impak ke atas kehidupan mereka.

“Janganlah menganggap sesuatu kritikan itu sebagai penentangan politik. Pas sebagai parti pemerintah, perlu lebih matang dalam amalan demokrasi.

“Justeru, secara moral, tiada sebab untuk penjawat awam meletak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan PN,” tegas Faiz lagi.