Malaysia Dateline

Letak Tabung Haji di bawah selia BNM tindakan terburu-buru

Cadangan Kementerian Kewangan untuk meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) seperti mana yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini merupakan satu tindakan terburu-buru kerana ia dilakukan tanpa perbincangan dengan wakil-wakil pemegang taruh dan mengelirukan umat Islam.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline, memetik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa mesyuarat jemaah menteri telah bersetuju untuk menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk dikawal selia oleh BNM.

“Adalah dibimbangi dengan pengumuman tersebut kemungkinan terdapat agenda tertentu yang boleh disangsikan oleh NGO-NGO Islam dan Melayu serta masyarakat Melayu umumnya.

“Perlu disedari TH bukannya sebuah institusi kewangan seperti mana institusi kewangan yang terdapat dalam negara ini. Matlamat utama TH ditubuhkan pada 1962 adalah jelas iaitu sebuah agensi Islam yang diberi amanah dan tanggungjawab menyimpan wang bakal haji dan menguruskan jemaah haji ke tanah suci Mekah.

“Lebih dikesalkan apabila Menteri Kewangan mengumumkan untuk meletakkan TH dibawah kawal selia BNM sebelum RCI yang diumumkan. Ianya merupakan satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh Menteri Kewangan,” katanya.

Bagaimanapun, Pemenang menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kecurangan dalam pengurusan dan pelaburan yang dilaporkan mengalami kerugian disamping terdapat dakwaan aset TH dijual kepada syarikat bukan Islam.