Malaysia Dateline

Letupan gudang: Lubnan isytihar darurat dua minggu di Beirut

Presiden Lubnan, Michel Aoun memanggil Kabinet untuk mengadakan mesyuarat tergempar susulan letupan gudang bunga api yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Aoun berkata mesyuarat itu bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu dengan seluruh negara diminta berkabung bagi mengenang mangsa dalam letupan tersebut.

“Dalam masa sama, kerajaan meluluskan sejumlah AS$65 juta daripada peruntukan belanjawan tahun ini sebagai bantuan kecemasan,” lapor AP hari ini.

Beliau turut berikrar akan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan tersebut.

“Kilang itu telah diberi amaran sejak 2014 selepas didakwa melanggar peraturan berkaitan pengurusan keselamatan,” ujarnya.

Gudang itu dikatakan menyimpan 2,750 tan bahan kimia ammonium nitrat yang disita tanpa langkah keselamatan yang didakwa menjadi punca letupan itu.

Ekoran letupan itu, bahagian timur Pelabuhan Beirut musnah sepenuhnya dan kerosakan di ibu negara tersebut disifatkan sebagai lebih buruk daripada serangan Israel pada 2006.

Menurut pihak tentera, ammonia nitrat yang meletup itu digunakan sebagai baja pertanian dan ia disita di gudang itu sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyimpannya di pelabuhan itu yang terletak dekat kawasan perumahan dan pusat komersial.

Amaran turut dikeluarkan berikutan kepulan asap tebal beracun yang tersebar di ibu kota berpunca daripada letupan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa hospital terutama di timur Beirut, dekat Achrafieh musnah teruk akibat letupan itu.

Letupan gudang di pelabuhan Beirut dianggap lebih buruk daripada serangan Israel 14 tahun lalu.