Malaysia Dateline

‘Lewat bantu mangsa banjir di Selangor muslihat tunjukkan PH lemah’

Kelewatan agensi dan jabatan kerajaan untuk segera membantu mangsa banjir di Selangor yang terperangkap seolah-olah ada muslihat di pihak pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib menegaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara, negeri dan daerah.

Wakil rakyat AMANAH itu berkata, MKN juga bertanggungjawab untuk merangka strategi dengan menggerakkan semua agensi persekutuan dan agensi negeri agar bekerjasama dan bertindak serentak.

“Jika tidak wujud struktur ini maka ia adalah satu pengabaian kerajaan persekutuan yang disengajakan.

“Dalam perkataan lain ia adalah satu perbuatan sabotaj ataupun lebih tepat khianat terhadap rakyat Selangor dan rakyat Malaysia amnya.

“Apakah ini muslihat untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor lemah dan usaha untuk menawan Selangor?” soalnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ismail Sabri mengakui wujud masalah pengurusan bencana banjir di Selangor termasuk kelewatan bantuan kepada mangsa.

Walau bagaimanapun, pemimpin Umno itu berkata, banjir besar melanda Selangor sejak 18 Disember lalu berlaku dengan pantas dan serentak membabitkan beberapa daerah seperti Petaling, Shah Alam dan Klang.

Mengulas lanjut, Saari berpendapat pemasangan pam dan reaksi pantas di pihak kerajaan Persekutuan sebenarnya dapat menyelamatkan nyawa rakyat.

“Sebagai wakil rakyat Hulu Kelang, saya mendapat luahan hati sekumpulan bekas penjawat awam.

“Sampai hati mereka bunuh rakyat Selangor. Banjir boleh dielakkan sekiranya pam di pasang dan tindakan proaktif diambil demi selamatkan rakyat.

“Operasi menyelamat besar-besaran ini hanya mampu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan,” kata Saari lagi.

Lumpur tebal selepas banjir di Hulu Langat surut.