Malaysia Dateline

Lewat edar benih padi sah bukan kerana kurang bekalan

Kelewatan pengedaran benih padi sah kepada pesawah-pesawah, terutamanya di kawasan utara tanah air, bukan berpunca dari kekurangan penghasilan benih padi sah seperti didakwa.

Ini kerana jumlah penghasilan benih padi tahun ini adalah 73,907 tan metrik berbanding 72,000 tan metrik yang diperlukan pesawah, jelas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah kegagalan 6 daripada 9 syarikat pengeluar yang tidak dapat memenuhi kuota pengeluaran benih padi bersubsidi yang telah diluluskan,” ujar beliau pada sesi penggulungan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, kekurangan benih padi sah dapat ditampung melalui tiga lagi syarikat yang telah menghasilkan benih padi melebihi kuota yang diluluskan kepada pengeluar.

“Bagi membolehkan lebihan benih padi daripada tiga syarikat tersebut diedarkan kepada pesawah, pengagihan semula kuota benih padi mengikut syarikat pengeluar perlu dilakukan,” ujarnya.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tambah beliau telah memperoleh kelulusan pengagihan semula kuota pertama pada 3 Oktober melibatkan 2,500 metrik tan dan kelulusan pengagihan semula kuota kedua pada 17 Oktober melibatkan 5,900 metrik tan.

Bagaimanapun ujarnya, pengagihan semula kuota ketiga dengan jumlah agihan sebanyak 10,194 metrik tan masih dalam proses pertimbangan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Masalah kelewatan penghantaran benih padi sah kepada ijangka akan selesai sebaik sahaja kelulusan pengagihan semua kuota ketiga memperoleh persetujuan Kementerian Kewangan,” kata beliau.

Kementerian juga, tambahnya menyedari bahawa terdapat trend peningkatan kegagalan pihak pengeluar benih mematuhi piawaian benih padi sah disebabkan oleh peningkatan infestasi padi angin di ladang benih sehingga berlaku peningkatan kegagalan kelulusan di peringkat makmal sebanyak 30% bagi tahun 2019 berbanding 20% pada tahun 2014.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya mencadangkan kaedah persampelan benih padi mentah di ladang bagi menggantikan ‘eye score’ menggunakan kaedah mencedung mekanikal (transplanter) dan mematuhi kaedah kawalan padi angin semasa penyediaan tanah.

Sejumlah 13 anggota parlimen menyentuh isu kelewatan penghantaran benih padi sah pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Mengenai isu monopoli industri beras dan cadangan mengembalikan Lembaga Padi dan Beras Negara pula, pihak kementerian masih mencari mekanisme terbaik dan lebih holistik melalui Request For Proposal (RFP) yang akan memberi kemakmuran bersama sebelum konsesi BERNAS tamat pada tahun 2021.