Lewat, gagal hantar laporan punca nama perwakilan cabang AMK tidak disenaraikan

Lewat, gagal hantar laporan punca nama perwakilan cabang AMK tidak disenaraikan

 

Lewat dan gagal mengemukakan Laporan Mesyuarat Agung cabang masing-masing menjadi punca nama tujuh perwakilan cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak disenaraikan ke Kongres Nasional Tahunan AMK.

Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razab dalam satu kenyataan berkata, cabang-cabang tersebut bukan sahaja gagal patuh kepada disiplin dan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan, malah tidak berusaha untuk memperbetulkan keadaan mengikut saluran sewajarnya.

Katanya, laporan AMK Rantau Panjang diterima pada 22 November, manakala AMK Kuala Selangor dan Sepang (25 November), AMK Kuala Krai dan Kelana Jaya (26 November), AMK Bentong (27 November) dan tiada penerimaan laporan direkodkan daripada AMK Jeli.

“Setiap cabang perlu memilih sembilan nama perwakilan daripada cabang masing-masing. Sembilan nama tersebut perlu dinyatakan dalam Laporan Mesyuarat Agung yang kemudiannya perlu diserahkan kepada Setiausaha AMK Malaysia selewat-lewatnya tujuh hari selepas mesyuarat berlangsung.

“Kemudian, Sekretariat Setiausaha AMK Malaysia akan menyemak laporan tersebut dan akan menyenaraikan senarai penuh perwakilan dari seluruh Malaysia.

“Memahami kesulitan yang dihadapi oleh kepimpinan AMK di peringkat cabang untuk menyerahkan laporan berkenaan mengikut waktu ditetapkan, Setiausaha AMK Malaysia melalui satu notis khas bertarikh 26 Oktober 2019 telah memberi satu tempoh ihsan.

“Tempoh ihsan itu diberikan kepada mana-mana kepimpinan AMK Cabang yang belum menyerahkan laporan berkenaan untuk berbuat demikian selewat-lewatnya pada 29 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Syukri mengeluarkan kenyataan susulan dakwaan beberapa individu yang mendakwa mereka telah dihalang untuk hadir sebagai perwakilan ke kongres tahunan pergerakan itu yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat ini.

Individu-individu itu mendakwa terdapat tujuh Cabang AMK yang telah dinafikan hak sebagai perwakilan iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kelana Jaya, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Bentong.

Menjelaskan dengan lanjut, Ahmad Syukri berkata selepas 29 Oktober 2019, Setiausaha AMK Malaysia telah mengeluarkan senarai penuh perwakilan yang dipaparkan melalui laman web kongresamk2019.com iaitu laman rasmi untuk Kongres Nasional Tahunan AMK 2019.

“Beserta dengan paparan tersebut, satu notis Setiausaha AMK Malaysia juga telah diedarkan pada 11 November lalu untuk semua kepimpinan AMK Negeri dan Cabang menyemak dan mengesahkan nama-nama perwakilan yang dipaparkan.

“Notis itu turut menyebut dengan jelas bahawa AMK Cabang dan Negeri perlu mengesahkan senarai Perwakilan ini selewat-lewatnya pada 16 November 2019,” jelas beliau.