Malaysia Dateline

LGBT: AWAN sokong penuh pendirian PM

Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) melahirkan rasa kesal atas tindakan sekumpulan pihak yang telah mencemari Sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini dengan menganjurkan himpunan yang memperjuangkan golongan LGBT.

Sehubungan itu Ketua AWAN Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, AWAN mendokong penuh pendirian YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah menegaskan bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di Negara ini.

“Kita sememangnya bersetuju dengan hak kebebasan bersuara yang dipraktiskan di negara ini, namun tindakan mereka ini telah melampaui batas dan norma yang digariskan.

“Pendirian Kerajaan sangat jelas berhubung isu ini, malah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sendiri telah berulang kali memberi amaran supaya ruang demokrasi yang ada di Negara ini tidak disalah guna untuk mempertahankan perkara yang salah di sisi agama, kata Adun Seri Serdang, Selangor itu dalam satu kenyataan.

Tegas Dr Mariah, AWAN Nasional juga mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur himpunan berkenaan yang telah menimbulkan keresahan dan kemarahan umat Islam di negara ini.

Pagi semalam, satu himpunan LGBT atas nama Hari Wanita Sedunia telah diadakan oleh kumpulan berkenaan berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.