LGBT dari sudut pandang berbeza

LGBT dari sudut pandang berbeza

Tindakan anti diskriminasi ke atas LGBT membolehkan kerajaan mengambil langkah untuk memulihkan kehidupan mereka.

Isu LGBT (Lesbian Gay Bisexual Transgender) telah lama menjadi isu hangat di Malaysia. Apabila disebut sahaja LGBT maka ramai di kalangan orang Islam di Malaysia memandang hina terhadap golongan tersebut.

Golongan yang paling terkesan adalah golongan transeksual atau lebih dikenali sebagai golongan pondan atau ‘mak nyah’. Ini kerana orientasi cara mereka berpakaian itu telah memudahkan orang ramai untuk mengenali mereka berbanding dengan golongan lesbian, gay atau biseksual. Golongan ini sukar dikenali melainkan mereka sendiri yang membuat pengakuan bahawa mereka itu lesbian, gay atau biseksual.

Sesetengah negara mengkategorikan mereka ini sebagai golongan rentan (vulnerable) atau golongan minoriti. Selain LGBT, warga tua, kanak-kanak dan wanita juga dikategorikan sebagai golongan rentan. Golongan rentan atau minoriti ini mempunyai haknya yang tersendiri menurut sesetengah pandangan pengamal hak asasi. Ini kerana hak asasi mereka lebih mudah dicerobohi berbanding dengan golongan lain.

Di Malaysia, golongan ini tidaklah ramai berbanding dengan keseluruhan jumlah penduduk Malaysia. Namun, golongan ini mempunyai suara yang kuat kerana mereka menggunakan segala ruang media yang ada untuk menyampaikan hasrat hati nurani mereka.

Mereka beranggapan bahawa mereka sepatutnya dibenarkan untuk mengamalkan gaya hidup LBGT kerana itu adalah pilihan mereka sendiri.

Bagi golongan yang menentang LBGT biasanya akan berpegang kepada konsep keagamaan khasnya agama Islam. Agama Islam menghalang amalan LBGT ini. Tidak hairanlah kesemua akta dan enakmen jenayah syariah di negeri-negeri memperuntukkan kesalahan amalan lesbian dan gay. Malah, Kanun Keseksaan sendiri memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan jika seseorang itu beramal dengan seks luar tabie.

Apa pun tanggapan orang ramai terhadap golongan ini, golongan ini tetap wujud dalam masyarakat. Selama ini, golongan ini dianggap sebagai satu sampah masyarakat dan mereka perlu dihukum dengan hukuman yang berat untuk mencegah amalan ini. Walau apa pun tanggapan peribadi kita terhadap mereka, golongan ini masih lagi seorang warganegara Malaysia. Justeru, selaku seorang warganegara mereka mempunyai hak-hak yang ditetapkan dalam Perlembagaan sama seperti mana-mana warganegara yang lain dan kerajaan haruslah menghormati hak asasi mereka ini.

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa diajukan dengan soalan ini di Parlimen beliau telah menjawab soalan ini dengan penuh yakin dan berhemah. Beliau tidak menyembunyikan hasrat kerajaan untuk membantu golongan ini khasnya untuk mendapatkan hak mereka yang telah dinafikan seperti hak untuk mendapatkan pekerjaan, tidak dianiaya dan dizalimi.

Namun, pihak LGBT juga harus akur bahawa masih ada undang-undang di Malaysia ini yang tidak membenarkan mereka untuk melakukan perlakuan LGBT seperti di Eropah atau Amerika seumpama Seksyen 377B yang menghalang perlakuan seks di luar tabie dan peruntukan undang-undang jenayah syariah yang menghalang seseorang lelaki berpakaian seperti seorang wanita.

Tindakan anti diskriminasi ke atas LGBT ini membolehkan kerajaan mengambil langkah untuk memulihkan kehidupan mereka khasnya apabila mereka tidak lagi terlibat dalam industri seks dan berjaya mencari rezeki hidup dengan cara yang dibenarkan oleh undang-undang. Ini juga akan membantu mengurangkan masalah sosial yang berkaitan dengan industri seks seperti isu kelahiran kanak-kanak di luar nikah dan pecah belah dalam rumah tangga.

Oleh itu, tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kerajaan PH ini cenderung kepada LGBT adalah tidak benar kerana kerajaan PH hanya berbuat sesuatu yang dijamin di bawah Perlembagaan. Tindakan kerajaan PH ini juga menunjukkan kemampuan kerajaan PH untuk menghadapi isu LGBT yang selama ini hanya dikambus di bawah karpet oleh kerajaan BN.

Kenyataan YB Datuk Dr Mujahid juga nampaknya selari dengan tindakan yang diambil oleh JAKIM yang selama ini yang lebih mengutamakan kaedah dakwah berbanding kaedah menghukum golongan LGBT. Golongan LGBT ini telah disantuni dan diberikan kursus atau bengkel khas untuk mengajar mereka asas-asas agama Islam. Malang sekali, ada di kalangan mereka ini tidak tahu asas agama seperti cara berwuduk atau bersolat yang betul.

Antara aktiviti dakwah yang dilakukan JAKIM adalah seperti menganjurkan aktiviti perkhemahan atau mukhayyam selama 3 hari 2 malam kepada komuniti LGBT bagi membimbing dan memberikan kesedaran kerohanian melalui pendekatan agama demi mengembalikan mereka kepada fitrah. Malah, program mukhayyam ini telah bermula semenjak bulan Mei 2011 dan masih berjalan sehingga kini. Aktiviti seperti ini sangat penting untuk membina kesedaran kepada mereka supaya mereka melakukan perubahan demi kehidupan yang lebih sempurna.

Justeru, semua masyarakat hendaklah menyahut seruan Datuk Dr Mujahid supaya masalah ini dapat diatasi dengan cara yang berhikmah selari dengan konsep rahmatan lil alamin.