LGBT: Hentikan idea abstrak, tumpu isu utama negara, kata MDN

Oleh MALAYSIADATELINE

Prof Emeritus Datuk Dr.Mahmood Zuhdi (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain (kiri) pada konvensyen MDN semalam.

Semua pihak harus menghentikan perbincangan mengenai isu Lesbian, Gay,Biseksual dan Transgender (LGBT) dan memberi tumpuan terhadap isu utama negara.

Demikian disarankan oleh Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Pusat, Prof. Emeritus, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab.Majid semasa Konvensyen MDN Pulau Pinang di Kepala Batas semalam.

Jelas beliau lagi, kerajaan, agamawan serta masyarakat harus segera menghentikan perbincangan mengenai isu LGBT serta memberi perhatian terhadap isu yang lebih utama seperti kekurangan kemudahan infrastruktur bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan seumpamanya.

Katanya lagi, adalah lebih progresif sekiranya dapat diberi perhatian terhadap OKU yang tidak dapat pergi ke masjid kerana tiada kemudahan yang disediakan untuk golongan tersebut.

“Lebih bermanfaat sekiranya isu kekurangan kemudahan awam seperti tandas untuk semua rakyat negara ini serta juga golongan OKU.

“Hentikan perbincangan mengenai LGBT kerana ia bukan isu sebenar dalam negara ini.

“Isu ini juga telah pun diselesaikan melalui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta tidak lagi perlu idea baru secara abstrak, ” tegasnya.

Barisan panel yang hadir dalam Konvensyen MDN Pulau Pinang di Kepala Batas semalam.

Disamping itu katanya, Konvensyen MDN yang diadakan kali ini bukan saja membincangkan mengenai program sokongan secara material yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, tetapi juga bagi mengukuhkan perpaduan Melayu-Islam secara politik.

Malah ujarnya lagi, isu-isu kelemahan ummah dari aspek ekonomi juga perlu dibincang.

“Sebagai rakyat majoriti, MDN amat mengharapkan orang Melayu mempamirkan kesepaduan.

“Apabila solidariti ini dilihat sebagai teras, maka tidak dapat dinafikan perpaduan kaum dengan semua golongan masyarakat dapat berjalan lancar dengan baik.

“Seharusnya fokus utama yang perlu diberi tumpuan adalah menyelesaikan masalah utama yang mana diantaranya ialah kelemahan orang Melayu bukan saja dari sudut politik, tetapi juga kelemahan ekonomi, ” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa komitmen yang tinggi bagi mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, Keluhuran Perlembagaan, Raja-Raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu turut diberi perhatian serius.

Turut membentangkan kertas kerja pada Konvensyen MDN tersebut ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Datuk Mohd Yussof Latif, Pesuruhjaya MDN Pulau Pinang, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi serta Mudir Pondok Baitul Quro, Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.