Malaysia Dateline

LGBT: Ikram gesa polis ambil tindakan, masyarakat bantu usaha pemulihan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan undang-undang ke atas kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) melalui laungan ‘Hidup LGBT’ dalam perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa,  pada Sabtu.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata beliau kecewa dengan tindakan  beberapa orang yang mengangkat bendera, plakad dan simbol LGBT sepanjang perarakan dari Sogo ke Masjid Jamek.

“Ikram mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam perhimpunan semalam,

“Ikram dengan tegas menolak segala usaha untuk mengiktiraf LGBT di Malaysia dan menyatakan sokongan padu kepada pendirian Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menerusi kenyataan Tun Mahathir, beliau jelas mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis,”katanya.

Ikram melalui satu kenyataannya semalam , meminta semua memandang serius terhadap larangan tegas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT.

Beliau juga menyeru pihak kerajaan, badan-badan agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan komuniti setempat supaya bersama membantu usaha pemulihan dan rawatan golongan LGBT ini secara bersepadu dan berkesan, tanpa stigma dan tanpa diskriminasi.

Tambah kenyataan tersebut, IKRAM meminta agar mana-mana rakyat Malaysia yang telah terjebak dengan LGBT agar segera mendapatkan rawatan pemulihan daripada pakar dan para profesional.