Malaysia Dateline

LGBT: MAYC saran kerajaan perhalusi undang-undang sedia ada

Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni

Kerajaan disaran memperhalusi undang-undang sedia ada dalam usaha mengekang aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada terus berleluasa di negara ini.

Pengerusi Tetap Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia Kebangsaan (MAYC) Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata kerajaan juga perlu menimbang menguatkuasakan undang-undang terbabit selain meningkatkan pemantauan terhadap pengamal dan penyokong LGBT.

“Malaysia mempunyai beberapa peruntukan undang-undang bagi mengekang sebarang perlakuan seksual sesama jenis termasuklah Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata MAYC tegas menolak segala usaha untuk mengiktiraf LGBT di Malaysia dan menyokong penuh pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa negara ini tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat itu- BERNAMA