Malaysia Dateline

LGBT: Pas sokong penuh penegasan PM

Parti Islam SeMalaysia (Pas) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat, yang merangkumi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan IbrahimTuan Man berkata, Pas juga menyambut positif ketegasan Tun Mahathir mengkritik pembentangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan amalan LGBT bahawa nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

Sehubungan itu jelasnya, Pas tuntas menolak sebarang cadangan atau tindakan dalam apa jua bentuk bagi mempertahankan amalan LGBT.

Ia tambahnya, termasuk mempertikaikan undang-undang yang bertujuan untuk mencegah dan menghukum mereka yang terlibat dengan amalan LGBT.

“PAS tegas dengan prinsip bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin negara Malaysia mestilah mempunyai akhlak yang baik dan budiman dan tidak terlibat langsung dengan gaya hidup songsang dan luar tabii.

“Pemimpin yang dipilih haruslah berakhlak mulia, berintegriti dan mempromosi gaya hidup fikrah semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT, tuhan yang mencipta manusia,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, pemimpin perlu menjadi model baik bagi rakyat yang dipimpinnya dan ia bertanggungjawab di dunia dan akhirat.

Pada 21 September lalu Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Suhakam bahawa Malaysia tidak boleh menerima semua perkara yang dianggap sebagai hak asasi manusia oleh Barat, termasuk perkahwinan sejenis.

Beliau menegaskan sistem nilai di negara ini tidak sama seperti sistem nilai di negara-negara Barat yang lebih bebas.