Malaysia Dateline

LGBT perlu tahu, periksa kecenderungan jantina sebelum masuk tandas awam

Golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) telah diminta untuk ‘memeriksa bahagian alat sulit’ mereka terlebih dahulu sebelum memasuki tandas awam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata demikian mengenai perbahasan yang meluas mengenai transgender dan tandas awam.

Sesetengah orang berpendapat dengan mengatakan golongan LGBT harus mengikut jantina asal mereka dalam menentukan sama ada boleh menggunakan tandas lelaki atau wanita.

Ada juga yang berpendapat bahawa mereka harus dibenarkan menggunakan tandas mengikut jantina yang mereka kenali.

Mengulas mengenainya Dr Asri berkata, kekeliruan itu semakin bertambah buruk dengan ramai yang bertanya kepadanya apakah perlu transgender mengunakan tandas awam.

“Saya ingin mencadangkan bahawa jika mana-mana individu yang merasa bertentangan dengan kekeliruan ini, saya cadangkan mereka berjumpa pakar (doktor) untuk memeriksa bahagian-bahagian peribadi mereka,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata jika seseorang itu membuang air kecil melalui bahagian peribadi lelaki, maka orang itu harus memasuki tandas lelaki, dan perkara yang sama berlaku jika mereka mempunyai bahagian peribadi wanita.

“Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar. Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.

“Jika tidak keluar langsung, ataupun keluar tidak melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital. Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar sebagai berkata bahawa tuntutan masyarakat LGBT tidak akan dilayan dengan tergesa-gesa, menyatakan bahawa permintaan hanya akan dipenuhi berdasarkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai warganegara negara tanpa mengenepikan identiti asal seseorang.

Beliau berkata, pada masa ini, kementeriannya tidak mempunyai sebarang rekod diskriminasi terhadap golongan LGBT di tempat kerja, namun mengakui bahawa mungkin ramai yang takut melaporkan kerana takut kehilangan pekerjaan mereka.

Mahfuz berkata demikian apabila diminta mengulas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta orang ramai supaya tidak mendiskriminasi transgender.

Transgender tidak boleh berdikari jika mereka tidak dilayan sebagai warganegara yang sama, yang merupakan antara sebab mengapa sebahagian daripada mereka menjadi pekerja seks, kata Mujahid.