LHDN Sabah sasar kutipan cukai lebih RM400 juta di bawah PKPS

LHDN Sabah sasar kutipan cukai lebih RM400 juta di bawah PKPS

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah menyasarkan kutipan melebihi RM400 juta daripada pembayar cukai pelbagai kategori di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang akan berlangsung sehingga 30 Jun tahun ini.

Pengarahnya Datuk Hajam Lajah Alam berkata sehingga 8 Feb, lebih 600 pembayar cukai telah membuat pembayaran dengan jumlah kutipan melebihi RM50 juta.

“Kita berharap mereka yang belum membuat pembayaran supaya dapat menjelaskan cukai dalam tempoh yang diberikan kerana hanya penalti sebanyak 10 peratus dikenakan sehingga 1 April. Selepas itu sebanyak 15 peratus akan dikenakan sehingga akhir Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program tanggungjawab sosial korporat (CSR) LHDN bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma LHDN, di sini hari ini.

Hajam turut meminta pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga hari terakhir pembayaran kerana selepas tempoh berkenaan, kadar penalti asal antara 80 peratus dan 300 peratus akan dikenakan bermula 1 Julai.

Program PKPS itu ditawarkan kepada lima kategori pembayar cukai individu, syarikat dan organisasi, iaitu mereka yang tidak pernah mendaftar fail cukai pendapatan, belum mengemukakan borang nyata pembayar cukai, terkurang lapor pendapatan, tidak melaporkan keuntungan pelupusan aset dan gagal menyetemkan surat cara dalam tempoh ditetapkan.

Mengenai program CSR itu, Hajam berkata ia merupakan antara aktiviti LHDN setiap tahun bagi meraikan kepelbagaian kaum di negara ini.

Seramai 20 kanak-kanak daripada Pusat Seri Mengasih diraikan pada majlis itu.

— BERNAMA