LHDN saman anak Najib tuntut bayar RM37.6 juta cukai pendapatan

LHDN saman anak Najib tuntut bayar RM37.6 juta cukai pendapatan

Selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri  Mohd Najib Razak disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, kini anaknya pula diminta membayar RM37.6 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, 36, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, kerajaan Malaysia mendakwa Mohd Nazifuddin masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Ia berkata Notis Taksiran itu telah dihantar secara serahan sendiri kepada defendan pada 18 Mac lepas.

Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Mohd Nazifuddin gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 har? dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan  yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM37,644,810.73

Jumlah itu ialah RM1,780,837.70  (2011), RM6,604,851.81 (2012), RM6,279,834.41 (2013), RM4,360,278.87 (2014), RM2,074,950.76 (2015), RM2,623,943.76 (2016) dan RM13,920,113.42 (2017).

Oleh itu kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM37,644,810.73, faedah atas jumlah RM37,644,810.73 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini secara ‘e-review’ di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Normaizan Rahim iaitu pihak-pihak yang terlibat mengendalikan kes secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.

Pada 25 Jun lepas kerajaan Malaysia melalui LHDN menfailkan saman terhadap Najib menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 30 Ogos di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail.

Pada 24 Julai lepas, LHDN juga menfailkan saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli.