Malaysia Dateline

LIAM lantik Mark O’Dell sebagai CEO pertama

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melantik  Mark O’Dell sebagai ketua pegawai eksekutifnya (CEO) yang pertama, berkuat kuasa hari ini.

O’Dell yang merupakan penduduk tetap Malaysia, mempunyai pengalaman lebih 38 tahun dalam perniagaan insurans hayat, baru-baru ini bersara sebagai CEO Manulife Insurance Bhd pada 30 Okt, 2018, selepas memegang jawatan itu selama lima tahun.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden LIAM Anusha Thavarajah berkata pelantikan O’Dell bertujuan untuk meningkatkan lagi komitmen persatuan itu dalam mengambil tanggungjawab dan cabaran baharu dalam mentransformasi industri insurans hayat ke tahap lebih tinggi.

“Dengan mempunyai CEO sepenuh masa yang membawa bersama-samanya pengalaman luas dan kepakaran dalam industri itu, LIAM akan berada di landasan lebih baik untuk memacu aspirasi negara bagi meningkatkan kadar penerokaan insurans hayat, mengurangkan jurang perlindungan dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.

“Paling penting, LIAM akan dapat memainkan peranan berpengaruh untuk menyokong pembinaan negara dan menambah baik kualiti kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Bernama, Ketua Komunikasi Korporat PIAM Norizan Hassan berkata tiada tempoh spesifik diberikan bagi pelantikan baharu itu.

— BERNAMA