Malaysia Dateline

Libatkan guru dalam pelan kementerian, jangan jadikan mereka ‘kambing hitam’

Nurul Izzah Anwar

Para guru perlu dilibatkan di dalam setiap pelan diperkenalkan Kementerian Pendidikan dan tindakan menuding jari kepada mereka di atas kegagalan program dilaksanakan kementerian adalah melampau memandangkan profesyen perguruan telah dibebankan dengan tugas-tugas di luar bidang profesionalisme mereka.

Sehubungan itu, kementerian disaran melaksanakan fasa-fasa transisi yang jelas dan mudah diikuti, tanpa menambah beban mana-mana pihak ketika melaksanakan dasar dan program baru pendidikan.

“Usahlah sakiti para guru dan pendidik dengan rasa bersalah yang tak putus-putus. Mereka yang patutnya disanjung sebagai wira teladan, semakin terpalit dengan caci-maki dan ancaman,” kata naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Lembah Pantai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang menyalahkan guru-guru terhadap kegagalan program kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di sekolah-sekolah.

KBAT adalah sistem pendidikan baru yang diharap dapat menambah baik kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah.

Program ini bermatlamat mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran daripada kaedah berasaskan penghafalan teori dan konsep kepada proses pembelajaran yang berlandaskan pemikiran terbuka, kritis dan penuh aplikasi.

Bagaimanapun tambah Nurul Izzah, kenyataan Kamalanathan menunjukkan kegusaran kementerian bahawa guru-guru masih belum bersedia melaksanakan sistem pendidikan berasaskan KBAT.

“Apa lagi yang boleh kita banggakan, jika sejumlah 169 daripada 282 sekolah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (bersamaan 60%), hanya mencapai tahap ‘gagal’ atau ‘memuaskan’ hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik KBAT.

“Dan perlu kita ingat, jumlah populasi kajian sebanyak 282, hanyalah sekelumit daripada bilangan keseluruhan 10,180 sekolah di Malaysia pada penghujung Julai 2016,” jelas Nurul Izzah.

Menurut beliau, sebelum pihak kementerian sibuk menyalahkan pihak guru tentang kegagalan KBAT, implementasi sistem itu perlu dinilai semula.

“KBAT mula disebut-sebut apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dibentangkan. Tetapi, langkah Kementerian selepas itu kurang jelas, terutamanya dalam memandu para guru dan pelajar ke arah gaya pemikiran yang baru,” ujarnya.

Beliau menambah, bukan sesuatu yang mudah bagi membiasakan guru dan pelajar yang sudah terbiasa dengan cara pembelajaran lama apatah lagi anjakan yang digesa pihak kementerian adalah terlalu mendadak, dan masih membelenggu tenaga pengajar sehingga hari ini.

Menurutnya, adalah lebih baik bagi kementerian menjalankan kajian di sekolah-sekolah seluruh negara daripada mendesak perubahan pola pembelajaran yang mengejut.

“Dan adakah tindakan susulan sewajarnya diambil bagi membaik pulih sistem pendidikan yang semakin kucar-kacir?” soal beliau.

Nurul Izzah kesal kerana para guru akhirnya dijadikan ‘kambing hitam’ atas kekurangan KBAT dan ini adalah cara mudah bagi kementerian melepaskan tanggung jawab pada guru atas kelemahan yang timbul.

Pihak kementerian, ujarnya perlu menyedari tugas guru yang sepatutnya tertumpu kepada mendidik para pelajar kini ditokok tambah dengan beban kerja yang berterusan.

“Tugas pentadbiran, pengisian laporan dan data atas talian, penganjuran aktiviti sekolah, penyertaan kursus dan latihan yang keterlaluan semakin menekan para pendidik. Sehinggakan tugas hakiki sebagai pengajar yang mencambah minda pelajar tidak dapat dijalankan dengan lancar.

“Kerisauan yang dipanjangkan oleh pihak National Union of the Teaching Profession Malaysia (NUTP) saban tahun tentang beban tugas guru dan polisi pendidikan negara yang kerap berubah, langsung diabaikan kementerian berwajib.

“Adakah kementerian lupa, para guru adalah insan paling tepat untuk menilai keberkesanan satu-satu inisiatif pendidikan? Mereka jualah yang bertemu para pelajar setiap hari, ibarat ibu bapa kedua bagi anak-anak yang masih bersekolah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyarankan pihak kementerian agar lebih proaktif dalam isu keberkesanan pembelajaran berdasarkan KBAT.

Di sebalik tudingan jari yang tidak putus-putus ke arah para guru, beliau menggesa kementerian mendengar rintihan mereka tentang kaedah dan cara pelaksanaan tugas yang mengeliru dan membebankan.

“Latihan dan kursus yang berterusan mungkin tampak ideal pada Timbalan Menteri Pendidikan dan kementerian, namun jangan sekali-kali alpa terhadap kebajikan para pendidik dan kesesuaian inisiatif KBAT terhadap populasi pelajar yang pelbagai.

“Di saat kementerian mendokong visi sistem pembelajaran moden seperti kelompok negara dunia pertama, masih ramai yang sengsara dengan akses kepada pendidikan asas seperti membaca dan mengira.

“Pandangan saya, para guru perlu dilibatkan sewajibnya di dalam setiap pelan yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan,” ujarnya.

Beliau juga mahu sistem pendidikan negara dijadikan wahana kemakmuran dan bukan untuk mainan politik dan populariti semata-mata.