Libatkan NGO, ahli akademik tangani masalah sosial di Kuala Lumpur

Libatkan NGO, ahli akademik tangani masalah sosial di Kuala Lumpur

Usaha mengatasi masalah sosial si Kuala Lumpur tidak harus bersifat dari atas ke bawah sebaliknya perlu digerakkan bersama dengan pelbagai agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) yang giat menjalankan pelbagai program kebajikan, pembangunan dan lain-lain.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Dr Hatta Ramli berkata, tidak cukup sekiranya perbincangan yang dijalankan hanya melibatkan pihak kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam berhadapan isu sosial di ibu kota rakyat Malaysia.

“Di Kuala Lumpur ini juga, kita boleh bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) dan institusi kajian yang wujud di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengadakan mesyuarat khas bersama semua PBT di bawah kementerian itu bagi membincangkan masalah sosial yang sedang melanda generasi muda, terutamanya di Kuala Lumpur.

Menurut Dr Hatta juga, perancangan dan tindakan melalui pelbagai dasar yang bakal diperkenalkan perlu bersifat jangka panjang dan holistik yang menyentuh pelbagai isu pokok yang menatijahkan pelbagai permasalahan yang berlaku, seperti peluang ekonomi, pendapatan, pengangkutan, kos sara hidup, pendidikan dan sebagainya.

“Atas dasar kebersamaan untuk menjadikan Kuala Lumpur hebat semula dalam pelbagai aspek, saya dan Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan komited bersama dalam agenda murni membangun Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu kota kelas dunia yang seimbang dari sudut fizikal dan rohaniah,” katanya.

Baru-baru ini Tengku Adnan berkata, berdasarkan pemantauan oleh Unit Banteras Aktiviti Haram (BAH) kementerian, pihaknya mendapati masalah sosial berlaku di semua 11 kawasan di Kuala Lumpur dengan Kampung Segambut Dalam di Segambut merupakan antara lokasi yang perlu diberi perhatian khusus.

CATEGORIES
TAGS